Anda ingin mendapatkan telefon pintar 5G berharga bajet dengan skrin besar dan bateri besar? Xiaomi Malaysia baharu sahaja memperkenalkan Redmi 15 5G yang menampilkan paparan besar 6.9-inci dan bateri berkapasiti besar mampu bertahan sehingga 2 hari untuk sekali cas.
Redmi 15 5G didatangkan dalam satu sahaja pilihan konfigurasi, RAM 8GB dan storan 256GB dengan harga jualan RM729. Anda boleh mendapatkannya dalam tiga warna pilihan iaitu Ripple Green, Titan Gray dan Midnight Black menerusi kedai dalam talian rasmi Xiaomi.
Walaupun ditawarkan pada harga bajet, telefon pintar ini masih lagi menawarkan spesifikasi yang memuaskan pengguna. Ia mempunuaia paparan 6.9-inci beresolusi FHD+ dengan kadar penyegaran semula 144Hz dan kecerahan sehingga 850 nits. Selain itu, ia juga mempunyai permukaan belakang kuad-melengkung dan berketahanan debu dan air IP64. Dari segi berat dan ketebalannya, telefon pintar baharu jenama Redmi ini mempunyai berat 217g dan tebal 8.4mm.
Menguasakannya, cip pemprosesan 6nm Snapdragon 6s Gen 3 digunakan yang disokong oleh RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.2 256GB. Ia juga mempunyai slot kad mikroSD yang menyokong sehingga storan berkapasiti 2TB.
Untuk kameranya, ia mempunyai sistem dwi-kamera “AI 50MP” melalui satu kamera utama 50MP dan satu lagi kamera sekunder yang tidak dinyatakan. Dalam pada masa yang sama, bahagian berpenebuk lubang pada skrinnya menempatkan kamera hadapan 8MP.
Bateri yang merupakan daya tarikan utamanya berkapasiti 7,000mAh yang mampu bertahan sehingga 2 hari untuk sekali cas. Sokongan pantas berwayar 33W juga disediakan untuk telefon pintar ini bersama-sama sokongan berwayar berbalik 18W melalui USB-C. Ciri keselamatan biometriknya pula hadir dalam bentuk pengimbas cap jari pada butang sisi, serta pengecaman wajah berasaskan AI.













