Redmagic secara rasminya telah mengumumkan ketibaan peranti baharunya, Redmagic 11 Air, ke pasaran Malaysia bermula 1 Februari ini.

Sebagai model susulan kepada Redmagic 10 Air, telefon pintar ini ditawarkan sebagai varian yang lebih nipis dan ringan berbanding siri Pro, dengan harga jualan bermula daripada RM2,499.

Redmagic 11 Air direka untuk pengguna yang mahukan prestasi gaming mudah alih dalam bentuk fizikal yang lebih kompak. Menurutnya, model ini adalah telefon pintar paling nipis dan ringan dalam keseluruhan siri Redmagic Air. Ia dikatakan mencatatkan pengurangan ketebalan sebanyak 12% dan berat 10% berbanding model Redmagic 11 Pro.

Walaupun hadir dengan rekaan yang lebih kecil, peranti ini mengekalkan estetika gaming ikonik jenama tersebut melalui rekaan lutsinar dan pencahayaan RGB.

Peranti ini juga dikatakan merupakan telefon pintar Redmagic Air pertama yang dilengkapkan dengan kipas penyejuk turbo. Ia mampu berputar sehingga 24,000 RPM walaupun dalam kerangka yang kompak.

Selain itu, sistem penyejukan ini dibantu oleh kebuk wap (vapour chamber) yang dipatenkan. Kecekapan penyebaran habanya telah ditingkatkan sebanyak 40% .

Dari segi spesifikasi dalaman, Redmagic 11 Air dikuasakan oleh cip pemprosesan berprestasi tinggi. Berikut adalah senarai spesifikasi utama peranti ini:

  • Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Elite dengan cip gaming RedCore R4.
  • Skrin: AMOLED 1.5K (2,688 × 1,216) dengan kadar segar semula 144Hz dan perlindungan Corning Gorilla Glass 7i.
  • Bateri: Kapasiti 7,000mAh dengan pengecasan pantas berwayar 80W.
  • Kamera: Utama 50MP (OIS), ultra-lebar 8MP, dan kamera swafoto bawah skrin 16MP.
  • Ciri Tambahan: Pemicu bahu (shoulder triggers) 520Hz, motor linear paksi-X 0809, dan teknologi Charge Separation.

Harga dan Ketersediaan

Redmagic 11 Air akan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Phantom (hitam) dan Prism (putih).

Bagi pasaran Malaysia, varian 12GB RAM + 256GB storan dijual pada harga RM2,499. Manakala varian 16GB RAM + 512GB storan berharga RM2,999.

Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi serta kedai dalam talian jenama tersebut di Shopee, Lazada, dan TikTok bermula awal Februari .

Tinggalkan komentar