Sejak diumumkan dua minggu yang lepas, pelbagai maklumat mengenai realme Pad telah tertiris. Maklumat terbaru mengatakan jenis cipset yang akan digunakan padanya kelak.

Menurut maklumat dari seorang Youtuber Sahil Karoul, realme Pad dikatakan akan menggunakan cipset MediaTek Helio G80. Selain berkongsikan maklumat spesifikasi perkakasan menerusi Twitter, beliau turut berkongsikan imej sebuah kotak realme Pad.

Penggunaan cipset MediaTek ini jika benar mungkin mengecewakan sesetengah pengguna yang mengharapkan cipset lain seperti Snapdragon 768G. Sungguhpun MediaTek Helio G80 adalah cipset yang bagus, namun prestasinya jauh lebih rendah berbanding Snapdragon 860 pada Mi Pad 5.

Pun begitu, pemilihan cipset ini memungkinkan tablet ini mengkhususkan pada pulangan berbaloi dari segi harga kepada pengguna berbanding prestasi tinggi.

Buat masa ini, maklumat spesifikasi lain bagi realme Pad telah disahkan. Tablet ini akan menampilkan paparan AMOLED 10.4-inci 60Hz, kamera swafoto 8MP, kamera belakang 8MP, empat pembesar suara dan bateri 7,100mAh. Tarikh pelancaran realme Pad telah dijadualkan berlangsung pada 9 September ini.

Tinggalkan komentar