realme kini telah melancarkan model baharunya, realme P4 Power untuk pasaran India. Telefon pintar ini memfokuskan kepada ketahanan tenaga yang luar biasa melalui bateri silikon-karbon berkapasiti 10,001mAh. Ia menjadikannya antara peranti dengan kapasiti tenaga terbesar dalam segmennya setakat ini.

Berbeza dengan konsep telefon 10,000mAh yang diperlihatkan tahun lalu, realme P4 Power adalah versi yang lebih baik dengan teknologi bateri silikon-karbon.

Teknologi ini membolehkan peranti mengekalkan 80% tahap kesihatan bateri walaupun selepas lapan tahun penggunaan. realme mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga 1,650 kitaran pengecasan. Sekaligus mengurangkan keperluan pengguna untuk mengecas dengan kerap berbanding telefon pintar biasa.

Dari segi prestasi penggunaan harian, realme menyatakan bahawa P4 Power mampu menstrim video YouTube selama lebih 32 jam atau merakam video 4K selama 12 jam. Bagi peminat permainan video, ia mampu bertahan sehingga 12 jam permainan tanpa henti.

Lebih menarik, telefon pintar ini juga menyokong pengecasan pantas 80W serta pengecasan berbalik 27W. Justeru, membolehkannya berfungsi sebagai “power bank” kepada peranti lain. Bateri ini juga direka untuk tahan lasak dalam suhu ekstrem serendah -30°C hingga 56°C.

Walaupun memiliki bateri yang besar, rekaan fizikalnya kekal praktikal dengan ketebalan 9.08mm dan berat 219g. Ia dilengkapkan dengan skrin AMOLED 6.8 inci beresolusi 1,280 x 2,800 piksel, kadar segar semula 144Hz, serta kecerahan puncak mencecah 6,500 nits.

Ketahanannya turut diperkukuhkan dengan perlindungan kaca Corning Gorilla Glass 7i serta penarafan kalis air dan debu IP66, IP68, dan IP69.

Spesifikasi ringkas realme P4 Power

Berikut adalah spesifikasi ringkas realme P4 Power:

  • Cipset: MediaTek Dimensity 7400 Ultra
  • Memori: Sehingga 12GB RAM dan storan 256GB
  • Kamera Utama: 50MP (f/1.8 dengan OIS) + 8MP (Ultra-lebar)
  • Kamera Hadapan: 16MP
  • Sistem Operasi: realme UI 7.0 (berasaskan Android 16)
  • Sistem Penyejukan: Kebuk wap 4,613mm² dan kepingan grafit 13,743mm²

Realme P4 Power ditawarkan dalam tiga pilihan warna dengan harga jualan bermula INR27,999 (~RM1,196) untuk varian asas 8GB+128GB di India. Setakat ini, pihak realme belum mengumumkan sebarang maklumat rasmi mengenai ketersediaan peranti ini untuk pasaran global atau Malaysia.

Tinggalkan komentar