realme telah mengumumkan telefon pintar mercu keluarannya yang terkini, realme GT3 malam tadi menerusi acara MWC 2023 di Barcelona. Hanya model standard diperkenalkan buat masa ini dan ia hadir dengan skrin besar, cipset Snapdragon mercu, kamera utama 50MP dan sebagainya. Paling menarik, ia menjadi satu-satunya telefon pintar yang menawarkan pengecasan terpantas di dunia.
Menampilkan skrin AMOLED rata 6.74-inci bersama-sama resolusi 1240 x 2772 piksel, kadar penyegaran semula 144Hz, output warna 1 billion, kecerahan puncak 1400 nits dan sokongan HDR10+.
Ia juga menyediakan pengimbas cap jari, pembesar suara stereo, serta di belakangnya ditempatkan sistem pencahayaan RGB yang dinamakan sebagai “Pulse Interface System”. Boleh disesuaikan dengan 25 warna, dua gaya beritm dan lima mod kelajuan cahaya, sistem RGB ini disediakan bagi menunjukkan notifikasi dan status pengecasan.
realme GT3 menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 bersama-sama RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Baterinya yang berkapasiti 4,600mAh pula mampu menyokong pengecasan 240W yang dikatakan mampu dicaskan sepenuhnya melalui kabel USB-C dalam tempoh sekitar 9 minit sahaja. Kaedah pengecasan ini juga selamat digunakan kerana menerima persijilan TUV Rheinland.
Seterusnya, fotografi telefon pintar ini hadir dengan tri-kamera pada sebelah hadapannya. Ia mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 8MP, dan kamera mikroskopik 2MP. Di hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP.
Selain itu, telefon pintar ini juga mempunyai kebuk pengewapan (vapour chamber) 6,580mm² bagi melancarkan sistem penyejukannya. Ketersambungannya pula, ia menyokong dwi-sisi NFC, Wi-Fi, dan juga Bluetooth 5.3 untuk telefon pintar yang menggunakan realme UI 4.0 yang berasaskan Android 13 ini.
realme masih lagi belum menyatakan ketersediaan realme GT3 di pasaran global. BUat masa ia dikatakan akan dijual pada harga dari US$ 649 (~RM 2,911), untuk konfigurasi RAM 8 GB dan storan 128GB dengan pilihan warna Booster Black dan Pulse White.













