realme GT 8 Pro didedahkan bakal dilengkapi dengan sistem kamera merangkumi sensor Sony LYT-808 dan lensa periskop beresolusi 200MP. Maklumat ini disebarkan oleh @Gadgetsdata menerusi platform X, menjelang pelancarannya di China bulan ini.
Kamera utamanya didakwa menggunakan sensor Sony LYT-808 bersaiz 1/1.4-inci dengan resolusi 50MP, dan dilengkapi teknologi Penstabilan Imej Optik (OIS). Konfigurasi ini melengkapi modul kamera boleh tukar yang menjadi ciri tersendiri realme GT 8 Pro, membolehkan pengguna menukar reka bentuk bonggol kamera mengikut citarasa.
Selain kamera utama, telefon pintar ini turut dilengkapkan dengan kamera ultra-lebar 50MP yang dikenal pasti sebagai sensor Samsung ISOCELL JN5. Walau bagaimanapun, daya tarikan utama sistem kamera ini adalah pada lensa telefoto periskop beresolusi 200MP bersaiz 1/1.56-inci. Berkemungkinan ia menggunakan sensor Samsung HP5, yang turut menyokong keupayaan telemakro untuk pengambaran jarak dekat yang terperinci.
Dari segi spesifikasi lain, realme GT 8 Pro dijangka menampilkan paparan OLED berukuran 6.78-inci dengan resolusi QHD dan kadar segar semula 144Hz. Panel ini dikatakan merupakan teknologi LTPO 10-bit keluaran BOE yang menawarkan kualiti visual premium. Peranti ini turut dilengkapi pengimbas cap jari ultrasonik, sistem pembesar suara dan haptik yang ditambah baik, serta penarafan kalis air dan debu IP69.
Kuasa pemprosesan Mercu
Kuasa pemprosesan disediakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang telah disahkan secara rasmi oleh realme. Cip flagship terkini Qualcomm ini dibangunkan menggunakan proses 3nm TSMC dan menjanjikan peningkatan prestasi yang ketara. Peranti ini dijangka hadir dengan pilihan RAM sehingga 16GB, memberikan keupayaan multitugas yang lancar.
Bateri berkapasiti 7,000mAh dijangka akan menjana kuasa untuk realme GT 8 Pro. Ia turut disokong pengecasan pantas 120W yang membolehkan pengisian semula yang pantas. Turut dijangkakan, ia menjalankan sistem operasi Android 16 dengan antara muka realme UI 7.
Telefon pintar realme baharu ini dijangka akan memasuki pasaran Malaysia, namun tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan. Maklumat lanjut mengenainya mungkin akan diketahui ketika pelancarannya di China bersama model asas GT 8 dalam bulan Oktober ini.













