realme Malaysia secara rasmi telah melancarkan siri telefon pintar mercu terbaharunya, realme GT 8 Pro, untuk pasaran tempatan. Peranti ini merupakan antara model terbaharu yang memasuki pasaran Malaysia dengan dikuasakan oleh cip pemprosesan canggih Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Model ini hadir dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.79 inci yang menyokong resolusi 1,440p serta kadar segar semula pantas 144Hz.
Skrin ini mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 7,000 nits dan dilengkapi dengan sensor cap jari ultrasonik di bawah paparan. Dari segi ketahanan fizikal, realme GT 8 Pro mempunyai penarafan IP66, IP68, dan IP69 untuk ketahanan terhadap debu dan air.
Dikuasakan Snapdragon 8 Elite Gen 5
Prestasi peranti ini dipacu oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digandingkan bersama cip grafik tersuai realme, R1. Ia menawarkan konfigurasi memori (RAM) sebanyak 16GB dan storan dalaman 512GB.
Untuk ketahanan tenaga, peranti ini dibekalkan dengan bateri berkapasiti besar 7,000mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 120W dan pengecasan tanpa wayar 50W. Peranti ini beroperasi menggunakan sistem Android 16 melalui antara muka realme UI 7.
Sistem fotografi realme GT 8 Pro menampilkan kamera utama 50MP yang ditala khas oleh RICOH, menggunakan sensor 1/1.56-inci dengan bukaan f/1.8. Ia menawarkan lima tona warna inspirasi Ricoh GR termasuk High-contrast Black & White dan Monochrome.
Kamera ini disokong oleh lensa telefoto periskop 200MP yang mampu melakukan zoom optikal 3x dan zoom tanpa kehilangan kualiti (lossless) sehingga 12x, serta lensa ultra-lebar 50MP dan kamera swafoto 32MP.
Antara ciri unik model Pro ini adalah perumah kamera magnetik yang boleh ditukar ganti menggunakan skru Torx. realme turut menyediakan fail 3mf bagi membolehkan pengguna mencetak sendiri versi perumah kamera mereka menggunakan teknologi percetakan 3D.
Selain itu, pasaran tempatan turut menerima varian realme GT 8 Pro Dream Edition, hasil kolaborasi dengan pasukan F1 Aston Martin. Edisi ini menampilkan rekaan panel belakang bertema khusus namun mengekalkan spesifikasi dalaman yang sama seperti model Pro biasa.
Harga reale GT 8 Pro di Malaysia
realme GT 8 Pro ditawarkan di Malaysia pada harga RM4,299, manakala varian Dream Edition dijual pada harga RM4,699.

Pra-tempahan kini dibuka menerusi kedai rasmi jenama tersebut di platform edagang serta pengedar sah di seluruh negara. Set tambahan yang merangkumi perumah kamera petak dan kerangka padanan dijual secara berasingan pada harga RM119.













