Realme mempunyai sebilangan telefon pintar mampu milik menerusi siri C dan kini telah memperkenalkan sebuah lagi model di dalam barisan siri ini. Dikenali sebagai Realme C21Y, telefon ini diperkenalkan secara global di Vietnam dan akan dilancarkan pasaran lain tidak berapa lama lagi.

Telefon ointar ini menampilkan paparan LCD 6.5-inci HD+ beresolusi 1600 x 720 piksel dan kecerahan maksimum 400 nits. Ia menggunakan cipset lapan teras Unisoc T610 yang dibina berdasarkan proses fabrikasi 12nm dan diintegrasikan dengan GPU Mali G52. Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan RAM LPDDRX 4GB dan storan dalaman 64GB.

Bagi kameranya pula, turut disediakan tetapan tri-kamera yang mengandungi satu sensor utama 13MP, sensor makro 2MP dan sensor monokrom 2MP. Pada sebelah hadapannya pula, disediakan sebuah kamera 5MP untuk tujuan swafoto dan rakaman video.

Dari segi ketersambungan, telefon ini menyediakan 4G, Dwi-Sim, Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 5.0, dan GPS (AGPS, Beidou, dan Glonass). Telefon dengan sistem operasi Android 11 ini urut menyediakan pengimbas cap jari ditempatkan di bahagian belakangnya serta bateri berkapasiti 5,000mAh.

Realme C21Y didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Hitam dan Biru. Harga bagi model RAM 3GB dan storan 32GB dijual pada harga VND 3,490,000 (~RM 628). Manakala bagi model RAM 4GB dan storan 64GB pula dijual dengan harga VND 3,990,000 (~RM 720).

Tinggalkan komentar