Tidak sampai seminggu selepas siri realme 9 Pro 5G dilancarkan di India, realme memaklumkan siri telefon berkenaan akan menuju ke pasaran tempatan. Tumpuan utama bagi siri berkenaan pastinya terhadap realme 9 Pro+.

Dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 920 5G, realme 9 Pro+ turut dilengkapkan dengan paparan Super AMOLED Full HD+ 6.4-inci. Ia juga menawarkan kadar penyegaran semula 90Hz bersama-sama kadar pensampelan sentuhan 360Hz.

Skrin berkenaan juga mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam. Sekeping lapisan kaca Corning Gorilla Glass 5 turut disediakan bagi skrin berkenaan sebagai perlindungan tambahan.

realme 9 Pro+ menawarkan satu keunikan yang dikenali sebagai Light Shift Design yang membolehkan lapisan permukaan belakangnya boleh bertukar warna apabila terkena sinaran matahari.

Bagaimanapun, keunikan ini hanya ditawarkan pada pilihan warna Sunrise Blue sahaja. Ia bagaimanapun tidak terdapat pada pilihan warna lain seperti Aurora Green dan Midnight Black.

Dari segi fotografi, 9 Pro+ menawarkan sensor Sony IMX766 50MP dengan lensa 6P f/1.8 sebagai kamera utamanya. Kamera berkenaan digandingkan dengan satu kamera bersudut ultra-lebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 2MP f/2.4. Pada bahagian hadapannya pula disediakan kamera 16MP f/2.4.

Melengkapkan spesifikasinya, sebuah bateri berkapasiti 4,500mAh turut disediakan. Melalui sokongan SuperDart Charger, telefon ini berkeupayaan dicaskan sehingga 50% kapasiti dalam tempoh 15 minit sahaja.

Harga bagi realme 9 Pro+ 5G di Malaysia setakat ini masih lagi belum diumumkan. Secara perbandingan, harga bagi telefon pintar berkenaan di India adalah 24,999 rupee (~RM1,404).

Tinggalkan komentar