realme telah mengumumkan fungsi baharu telah disediakan untuk telefon realme 8 varian standard dan Pro melalui kemaskini firmware terkininya.
Kemaskini ini menyertakan penambahan sokongan Dynamic RAM Expansion yang pertama kali diperkenalkan pada realme Narzo 30 5G, dan kemudiannya pada realme X7 Max 5G.
Penambahan fungsi baharu ini membolehkan pengguna mengubah ruang storan kepada RAM tambahan untuk telefon pintar. Fungsi yang seakan-akan sama ini juga pernah diperkenalkan pada telefon Vivo V21 dan juga beberap model telefon OPPO.
Kesemua jenama ini di bawah syarikat BBK Group dari China dan tidak menghairankan jika kesemuanya mampu menawarkan teknologi yang sama.
Sama seperti yang terdapat pada realme Narzo 30 5G, pengguna siri realme 8 ini boleh menambah RAM maya ini dengan cara berikut:
- Pergi ke menu Tetapan (Settings)
- Ketik pada ‘About Phone’
- Pergi ke bahagian RAM
- Pilih berapa jumlah kapasiti storan yang anda ingin ubahkannya sebagai RAM
Pengguna juga boleh mengubah kembali kepada keadaan asal jumlah memori telefon realme berkenaan pada bila-bila masa.
Menurut realme, pengguna siri realme 8 akan menerima kemaskini ini melalui versi firmware RMX3085_11.A.19. Selain penambahan fungsi Dynamic RAM Expansion, kemaskini ini juga hadir dengan beberapa pembaikan ralat, integrasi tampalan sekuriti Android Julai 2021 serta pelbagai peningkatan prestasi dan kestabilan sistem.
Bagaimanapun, kmeaskini ini hanya disediakan secara terhad kepada beberapa pengguna di India sahaja buat masa ini. realme turut menyatakan kemaskini akan ditawarkan kepada seluruh pengguna dalam masa yang terdekat ini.













