Realme sedang memperluaskan lagi penawaran produknya melalui pelbagai kategori baharu. Selepas memasuki segmen televisyen pintar tahun lalu, Realme akan memperkenalkan peranti penstriman pertamanya di India dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Realme di India, Encik Madhav Seth telah mengesahkan kehadiran peranti tersebut melalui GSM Arena. Tidak beberapa lama selepas itu, Realme 4K Google TV Stick didapati muncul di platform jualan dalam talian, Flipkart.

Sekilas pandang, dongal televisyen ini kelihatan agak besar dengan rekaan berbucu dan petak. Pun begitu, Realme 4K Google TV Stick mampu menayangkan kandungan 4K pada televisyen yang menyokongnya.

Selain itu, peranti ini juga mampu menstrimkan kandungan HDR dan mempunyai port HDMI dan USB-A. Dijangkakan, ia akan menggunakan antaramuka Google TV yang berasaskan sistem operasi Android TV 10.

Melalui perkembangan terbaru ini, Realme akan memasuki pasaran dongal televisyen yang kini diterajui oleh syarikat seperti Amazon dan Xiaomi.

Tinggalkan komentar