realme telah mengacah kehadiran siri realme 11 yang akan datang tidak lama lagi menerusi pelbagai saluran rasminya sejak kebelakangan ini. Kini, siri telefon pintar berkenaan telah diumumkan tarikh pelancaran rasminya iaitu pada 10 Mei 2023
Menerusi akaun rasminya di Weibo, realme menyatakan siri tersebut akan dilancarkan di pasaran China menerusi sebuah acara yang berlangsung pada 10 Mei, jam 4 petang waktu tempatan. Telefon pintar ini juga merupakan kesinambungan dari siri realme 10 yang dilancarkan pada tahun lepas.
Sebahagian maklumat mengenai realme 11 Pro telah pun tertiris dengan antaranya mendakwa ia akan hadir dengan skrin melengkung mirip dengan GT Neo5 dan Neo5 SE. Siri telefon pintar ini juga telah dikesan disenaraikan di dalam persijilan TENAA, dan seterusnya mendedahkan spesifikasi dan ciri-cirinya.
Pentiris maklumat tegar, Digital Chat Station juga telah berkongsikan maklumat persijilan tersebut selain turut memaparkan gambaran rekaan siri tersebut. DIkatakan varian-varian 11 Pro+ akan dikuasakan oleh CPU 2.6Ghz menerusi cipset siri Dimensity 7** yang tidak dinyatakan.
Telefon pintar realme baharu ini juga menampilkan panel skrin AMOLED 6.7-inci beresolusi 1080p bersama-sama bateri 5,000mAh dengan pengecasan sama ada 80W atau 100W. Selain itu, 11 Pro+ juga dikatakan akan menampilkan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 200MP, ultra-lebar 8MP dan satu 2MP.
Berdasarkan maklumat dari senarai persijilan TENAA tersebut, realme 11 Pro+ juga dikatakan akan mempunyai RAM sehingga 16GB, storan sehingga 1TB dengan seberat 183 gram. Pun begitu, masih terlalu awal untuk mengesahkan maklumat tersebut sehinggalah kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak realme.













