Kerajaan Malaysia sedang bergerak ke arah pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dalam tempoh separuh kedua tahun 2025, menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.
Beliau berucap selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia 2025 di Kuala Lumpur semalam. Amir Hamzah menyatakan Kementerian Kewangan masih meneruskan persiapan dengan tumpuan kini bagi mengenalpasti penerima yang layak.
Perbincangan masih lagi dijalankan di dalam Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memuktamadkan had pendapatan untuk kelayakan subsidi.
“Kementerian Kewangan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi, namun keutamaan buat masa ini adalah bagi memastikan penerima yang layak dikenalpasti,” ujar Amir Hamzah. “Perdana Menteri dan Kabinet sedang meneliti had kelayakan rakyat Malaysia, yang mana akan dinaikkan.”
Mekanisme utama yang sedang dipertimbangkan untuk pelaksanaan rasionalisasi ini adalah melalui penggunaan MyKad bagi menguruskan agihan subisidi bahan api bersasar. Amir Hamzah menyatakan sistem tersebut terbukti berkesan di dalam program terdahulu seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Pihak kementerian kini sedang di dalam usaha memperincikan sistem bagi memenuhi keperluan pelarasan subsidi bahan api, tambah beliau lagi.













