Windows Defender, aplikasi perlindungan antivirus masa-nyata di dalam Windows 10 mempunyai fungsi keselamatan kritikal iaitu Ransomware Protection. Fungsi ini bagaimanapun dimatikan secara lalai (default) dan perlu diaktifkan sendiri oleh pengguna.

Sungguhpun fungsi ini telah pun diperkenalkan sejak dari kemaskini Windows 10 versi 1709 pada Oktober 2017 lalu, masih terdapat lagi sesetengah pengguna yang tidak mengetahui kewujudan fungsi ini.

Ransomware merupakan ancaman yang amat kritikal kerana mampu mengunci dan mengenkripsikan data-data pengguna di dalam PC tanpa disedari. Pengguna juga tidak dijamin mampu mendapatkan semula data-data yang telah dienkripsikan walaupun sudah membayar wang tebusan kepada penjenayah. Oleh yang demikian, langkah pencegahan ransomware adalah sesuatu yang amat wajar dilakukan.

Kenapa ‘Ransomware Protection’ dilumpuhkan?

Ransomware protection sememangnya telah disediakan sebagai pilihan tetapan di dalam Windows Defender. Namun, ianya tidak diaktifkan selagi pengguna tidak menghidupkannya.

Antara sebab mengapa ianya tidak diaktifkan adalah kemungkinan Windows Defender mengesyaki sesetengah aplikasi yang sah sebagai satu ancaman lalu menyekatnya (false positive).

Walaubagaimanapun, fungsi terbina dalam Windows 10 ini memberikan pilihan perlindungan tambahan terhadap PC pengguna. Berikut adalah langkah-langkah bagi menghidupkan Ransomware Protection di dalam Windows Defender:

  • Klik Start dan pilih “Settings”
  • Klik “Update & Security.”
  • Di bahagian kiri tetingkap yang baru tadi, klik pada “Windows Security.”
  • Klik pada “Virus & Threat Protection”.
  • Tatal ke bawah sehingga menemukan pilihan “Ransomware Protection”
  • Klik “Manage Ransomware Protection.” Jika UAC terpacul keluar, klik OK. Jika tidak muncul, teruskan ke langkah berikutnya.
  • Di dalam tetingkap baharu, carikan “Controlled Folder Access.”
  • Togolkannya kepada ‘ON’ untuk menghidupkannya.

Seterusnya, fungsi Ransomware Protection telah pun dihidupkan di dalam Windows Defender PC anda.

Windows Defender kini akan memantau sebarang program yang mengakses ke folder yang dilindungi bersama-sama fail-fail yang ada di dalamnya bagi mencegah akses dari program-program yang meragukan.

Sebagaimana yang telah diterangkan di awal artikel tadi, Windows Defender kadangkala tersalah anggap aplikasi yang sah sebagai perisian meragukan dan seterusnya menghalang akses ke fail-fail milik pengguna. Justeru, anda boleh mengelakkan dari masalah ini dengan membenarkan (whitelist) program-program tertentu di Controlled Folder Access dengan:

  • Di dalam tetingkap Controlled Folder Access, klik “Allow an app through Controlled folder access”
  • Klik pada “Add an allowed app” untuk memasukkan senarai-senarai program yang anda mahukannya dinyahsekat.
  • Anda juga boleh melihat senarai aplikasi-aplikasi yang disekat oleh Windows Defender melalui “Block History”.
  • Di dalam tetingkap “Protection History”, klik pada “Filters” untuk melihat tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Windows Defender berdasarkan kategori.

Selain itu, anda juga boleh menambah senarai-senarai folder yang ingin dilindungi dengan memasukkannya pada pilihan “Protected Folders”. Folder ini akan dilindungi oleh Windows Defender tanpa mengira sebarang lokasinya di dalam komputer anda.

Kesimpulan

Mempunyai perlindungan ransomware pastinya mempunyai manfaat. Namun, anda juga diingatkan supaya membuat salinan pendua fail-fail penting anda agar dapat meningkatkan lagi tahap perlindungan anda dari ancaman-ancaman siber.

Tinggalkan komentar