Hubungan di antara Microsoft dan Qualcomm semakin rapat apabila Microsoft berhasrat untuk menghasilkan PC Windows 10 berasaskan cip pemprosesan ARM. Kini, ‘ikatan ukhwah’ berkenaan diperteguhkan lagi dengan usaha membawa sistem operasi Windows Server ke ARM.

Buat julung kalinya, Microsoft dijangka akan mempertontonkan sistem operasi Windows Server pada pelayan ARM. Pelayan berkenaan menggunakan Qualcomm Centriq 2400, cip berasaskan ARM yang direka khusus untuk pelayan awanan (cloud server)

Pelayan berkenaan dipertontonkan sempena Open Project Compute Summit yang berlangsung di Santa Clara, California pada Rabu dan Khamis baru-baru ini. Perkakasan Windows Server berasaskan ARM berkenaan adalah untuk kegunaan dalaman Microsoft. Tiada maklumat diberikan berkenaan bila Windows Server boleh digunakan pada pelayan ARM setakat ini.

Meletakkan Windows Server pada ARM adalah satu perubahan yang besar. Pada tahun 2011, Microsoft menyatakan tidak berminat untuk meletakkan sistem operasi Windows Server pada pelayan ARM. Namun, khabar angin tersebar mengatakan Windows Server 2016 akan dibawa ke ARM dan akhirnya hari ini buat pertama kalinya sistem operasi Windows Server diperlihatkan mampu beroperasi pada perkakasan berkenaan.

Sama seperti PC, edisi terkini Windows Server hanya boleh digunakan pada sistem yang menggunakan chip x86 dari Intel dan AMD. Namun, perkembangan terbaru menunjukkan Microsoft sedang membawakan ARM ke arah laptop dan kini ke pelayan pula. Windows 10 IoT Core dan Windows 10 Mobile juga buat masa ini sedang mengusahakan pembangunan menggunakan chip pemprosesan ARM.

Microsoft dan Qualcomm sudah bekerjasama bertahun-tahun untuk membawakan Windows Server ke Centriq 2400. Usahasama ini akan diteruskan terhadap generasi-generasi perkakasan dan perisian pelayan yang akan datang.

Sasaran utama kerjasama ini adalah membawakan perkhidmatan awanan Microsoft melalui pelayan yang menggunakan chip Qualcomm’s Centriq 2400.

Perkembangan ini tentunya diambil berat oleh Intel yang kini sedang menguasai 90 peratus pasaran chip pemprosesan pelayan di seluruh dunia. Ia menunjukkan Microsoft kini sudah bersedia untuk mempertimbangkan penggunaan senibina alternatif lain Windows Server.

Sumber berita dan Imej diperoleh dari ZDNet

3 KOMEN

Tinggalkan komentar