Setiap Disember saban tahun, Qualcomm mengadakan acara tahunan di Hawaii bagi memperkenalkan cipset mudah alih mercu terbarunya. Tradisi ini diteruskan lagi pada tahun ini dengan pelancaran Snapdragon 8 Gen 1.
Kali ini Qualcomm mengubah pernomboran bagi cipset baharu keluaran terbarunya dengan tidak lagi mengikuti pernomboran seperti Snapdragon 888 dan 865.
Cipset baharu keluaran Qualcomm ini juga mengandungi modem X65 5G. Ia dikatakan berkeupayaan mencapai kelajuan memuat turun sehingga 10Gbps secara teorinya. Di atas kertas, keupayaan ini dilihat mantap.
Namun di dunia sebenar, kelajuan rangkaian 5G paling pantas tidak mampu melebihi 4Gbps di dalam keadaan ideal. Bagi anda yang mempunyai akses ke router Wi-Fi 6 atau 6E, Gen 1 mampu menampung kelajuan muat turun sehingga 3.6Gbps melalui Wi-Fi.
Pemprosesan Isyarat Imej (ISP) 18-bit
Snapdragon 8 Gen 1 turut menampilkan pemprosesan isyarat imej (ISP) 18-bit yang pertama kali diperkenalkan oleh Qualcomm. Sebagai perbandingan, ia mampu memproses sehingga 4,000 kali ganda lebih data berbanding Spectra 14-bit pada Snapdragon 888. 
Selain itu, telefon yang dikuasakan oleh cipset Gen 1 ini akan mempunyai keupayaan mengambil foto pada 3.2 megapiksel per saat. Secara praktikalnya, menurut Qualcomm, Gen 1 mampu memproses data dari tiga 36MP kamera secara serentak tanpa sebarang kelambatan pada pengatup (shutter).
Satu lagi penambahan baharu yang pertama kali diperkenalkan adalah keupayaan cipset ini merekodkan reja (footage) 8K HDR pada 30 bingkai per saat. Pun begitu, kandungan berkualiti 4K pun sudah lebih dari memadai untuk dimainkan pada peranti mudah alih.
Gen 1 juga menyokong tangkapan berkualiti UHD pada kadar 120 bingkai per saat dan mampu merakamkan reja gerak perlahan 960 bingkai per saat pada 720p.
Tidak seperti ISP pada Snapdragon 888, ISP pada Gen 1 ini memperkenalkan fungsi sentiasa-terpasang (always-on). Ia berkeupayaan menguasakan sesebuah kamera dengan menggunakan bekalan kuasa yang rendah.
Fungsi ini juga secara tidak langsung membolehkan peranti yang dilengkapkan dengannya menawarkan fungsi pengecaman wajah sentiasa terpasang untuk pengesahan identiti biometrik.
Tidak banyak peningkatan pada CPU ditawarkan pada Snapdragon 8 Gen 1 berbanding Snapdragon 888 Plus. Apa yang dibawakannya lebih pada prestasi yang lebih pantas pada tugasan yang berkaitan dengan AI.
Kuasa AI yang lebih baik
Ini hasil dari penambahbaikan yang dibawakan oleh enjin AI generasi ketujuh yang dibawakan oleh Qualcomm. Dikatakan, keupayaannya empat kali ganda lebih pantas berbanding generasi sebelumnya berikutan penambahan pada memori yang dikongsikan dan pemecut tensor yang lebih pantas.
Prestasi permainan mudah alih juga merupakan sorotan utama pada Snapdragon 8 Gen 1 ini. GPU Adreno versi terkininya menawarkan prestasi rendering 30 peratus lebih pantas dengan menggunakan 25 peratus tenaga yang lebih rendah.
Untuk audionya, Gen 1 menyertakan sokongan untuk codec Bluetooth aptX Lossless yang baharu sahaja diumumkan. Ia mampu menyediakan kualiti penstriman audio bertaraf CD pada 16-bit 44.1kHz melalui sambungan nirwayar.
Melengkapkan spesifikasinya, Gen 1 memperkenalkan Trust Management Engine yang dikhususkan. Ia merupakan cipset mudah alih pertama yang sedia menyokong standard Android Ready SE dari Google, yang memberikan keupayaan menyimpan maklumat penting seperti kunci digital untuk kereta dan dokumen pengenalan diri digital.
Perkembangan yang lebih menarik dijangka dapat dilihat apabila cipset baharu keluaran Qualcomm ini mula dipasangkan pada peranti-peranti mudah alih baharu yang dijangka akan hadir seawal tahun ini juga.
Dalam perkembangan yang berasingan, Qualcomm mengumumkan kerjasamanya dengan Google untuk membawakan platform Neural Architecture Search (NAS). Teknologi yang akan diperkenalkan pada Snapdragon 8 Gen 1 ini membolehkan model-model AI dihasilkan dan dioptimumkan secara automatik.
Menurut Google, NAS mampu mengoptimasikan model-model AI dalam tempoh beberapa minggu berbanding berbanding beberapa bulan jika menggunakan kaedah sebelumnya.













