Qualcomm secara rasminya mengumumkan Snapdragon 7s Gen 4, cipset peringkat menengah baharunya untuk peranti mudah alih. Platform baharu ini menjanjikan naik taraf dari segi prestasi, paparan dan pengimejan.
Menurut Qualcomm, Snapdragon 7s Gen 4 membawakan peningkatan prestasi tujuh peratus untuk GPU Adreno dan CPU Kryo di dalamnya. Pemprosesan ini juga menaikkan kelajuan klok tertinggi CPU kepada 2.7GHz, berbanding 2.5GHz pada generasi sebelumnya.
Keupayaan paparannya juga menyaksikan peningkatan dengan generasi keempat ini menambahkan sokongan untuk skrin WFHD+ pada resolusi sehingga 2,900 x 1,300 piksel dan kadar penyegaran semula sehingga 144Hz. Low Light Vision yang sebelum ini hanya terdapat pada pemprosesan yang lebih mercu, turut dimuatkan ke dalamnya bagi meningkatkan kualiti video dalam keadaan gelap.
Selain dari ciri-ciri baharu tersebut, Snapdragon 7s Gen 4 masih mengekalkan sejumlah keupayaan yang ada pada model sebelumnya. Ia merangkumi sokongan untuk tangkapan foto 200MP, dengan peningkatan AI, pengecasan pantas Quick Charge 4+ untuk membolehkan peranti dicaskan dari sifar ke 50 peratus dalam tempoh 5 minit, dan juga terjemahan dan transkripsi masa nyata untuk pelbagai bahasa.
Qualcomm setakat ini tidak menamakan pengeluar yang akan menggunakan Snapdragon 7s Gen 4, namun pemprosesan ini dijangka akan muncul pada peranti peringkat menengah baharu tahun ini.













