Prestasi Wi-Fi di rumah anda akan menjadi bertambah baik tidak lama lagi berikutan penghasilan cip Wi-Fi terbaru yang diumumkan oleh Qualcomm pada 13 Februari baru-baru ini. Sistem-di atas Cip atau system-on-chip (SoC) IPQ8074 untuk pemancar-pemancar (routers dan access points) dan SoC QCA6290 untuk penerima (peranti-peranti Wi-Fi) merupakan portfolio Wi-Fi komersil hujung-ke-hujung pertama yang menyokong piawaian 802.11ax yang terbaru.
Apa itu 82.11ax?
Secara ringkasnya, ia adalah perubahan terkini di dalam evolusi rangkaian Wi-Fi. Sejak kemunculannya yang pertama melalui piawaian 802.11b pada tahun 1999 dulu, Wi-Fi telah banyak melalui perubahan melalui kehadiran piawaian yang lebih baru dan lebih baik seperti 802.11g, 802.11n dan juga yang paling popular digunakan masa kini, 802.11ac.
Seperti mana 802.11ac, 802.11ax ini adalah backward compatible dengan Wi-Fi generasi-generasi yang terdahulu. Selain itu, piawaian yang terkini ini bukan sahaja lebih pantas, malahan lebih cekap penyampaiannya terutamanya di kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi.
Mengikut teori, 802.11ax mampu mencapai kelajuan empat kali ganda berbanding piawaian 802.11ac. Juga, router yang menggunakan piawaian 802.11ax ini mampu menjadikan peranti Wi-Fi bukan 802.11ax mendapat isyarat yang lebih baik. Hal ini disebabkan piawaian baru ini menjadikan router lebih cekap mengurus kepelbagaian jenis trafik dan mampu mengatasi masalah ketumpatan pada rangkaian yang bertindan.
IPQ8074
Qualcomm turut menyatakan SoC IPQ8074 merupakan platform semua-dalam-satu berintegrasi tinggi. Ia direka khusus untuk router, gateway dan access point.
Cip 14nm ini mengintegrasikan 11ax radio, MAC dan jalur asas (baseband). cip pemprosesan empat teras A53 64-bit dan pemecut rangkaian dengan dwi-teras. Ia menggunakan konfigurasi Wi-Fi 12×12 (8×8 pada jalure 5GHz dan 4×4 pada jalur 2.4GHz) serta menyokong MU-MIMO untuk uplink.
Cip ini juga menampilkan Qualcomm Wi-Fi Self-Organizing Network (SON) yang bertujuan memudahkan pemasangan dan mengoptimumkan trafik.
QCA6290
Pada bahagian penerimaan pula, Qualcomm memaklumkan SoC QCA6290 mampu menawarkan kelajuan sehingga empat kali ganda di dalam kawasan yang mempunyai ramai pengguna rangkaian Wi-Fi. Ia menyokong 2×2 MU-MIMO dan juga mampu memanfaatkan 8×8 MU-MIMO. Cip ini juga boleh menggabungkan jalur 2.4GHz dan 5GHz dengan menggunakan Dual Band Simultaneous (DBS) untuk menawarkan kelajuan Wi-Fi sehingga 1.8 Gbps.
Berbanding 80.211ac, cip ini mampu mengurangkan kadar penggunaan kuasa sehigga dua pertiga.
Qualcomm menjangkakan akan mula menguji sampel kedua-dua cip sekitar awal tahun ini. Ini bermakna, tidak mustahil pengguna berpeluang untuk mendapatkan peranti yang dilengkapi piawaian 802.11ax menjelang penghujung tahun 2017 ini.
Sumber berita diperoleh dari Qualcomm













