Qualcomm secara rasminya mengumumkan cip terbarunya di dalam siri 2xx, 215 Mobile Platform. Cipset ini yang merupakan terbaru dikalangan barisan cipset peringkat permulaan keluaran Qualcomm ini hadir dengan teknologi terkini.

Menampilkan CPU kuad-teras 64-bit, setiap terasnya merupakan pemprosesan ARM Cortex-A53. Di atas kertas, teras pemprosesan-pemprosesan ini membolehkan cipset terbaru ini menawarkan 50% lebih prestasi berbanding model keluarannya yang terdahulu.

Selain itu, ia juga memiliki GPU yang lebih berkuasa dan lebih berkecekapan iaitu Adreno 308. Serta, apa yang lebih penting ialah sokongan teknologi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge. 215 ini juga diintegrasikan dengan Qualcomm Hexagon DSP bagi membolehkan telefon pintar menggunakan cipset ini untuk memainkan muzik secara terus-menerus selama 5 hari.

Sungguhpun tidak menggunakan jenama Snapdragon, cipset ini masih mengintegrasikan modem Snapdragon X5 dengan sokongan dwi-VoLTE dan LTE Cat4. Seterusnya membolehkan ianya memuat turun pada kadar kelajuan 150Mbps.

Untuk kamera pula, cipset terbaru ini menyokong dwi-ISP bagi tujuan penggunaan dwi-kamera pada resolusi maksima 13MP.

215 Mobile Platform dijangka bakal hadir pada telefon-telefon pintar peringkat permulaan menjelang penghujung tahun ini.

Sumber berita diperoleh dari Qualcomm

Tinggalkan komentar