Perbadanan Putrajaya (PPj) telah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pelaksanaan sistem trem tanpa rel atau Automated Rapid Transit (ART) di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan tersebut.

Keputusan ini dibuat berikutan kos unjuran yang tinggi. Ia didapati melampaui kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan.

Keputusan pembatalan ini dibuat selepas kajian awal mendapati kos pelaksanaan sistem tersebut dijangka mencecah jumlah yang besar dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kajian awal menunjukkan anggaran kos sebanyak RM211.95 juta bagi tempoh 10 tahun,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui. Menurut beliau, kos tersebut merangkumi pembangunan infrastruktur, sistem, operasi, serta penyelenggaraan.

Oleh itu, projek tersebut telah digugurkan dan tiada perancangan untuk fasa pengembangan seterusnya. Sebelum ini, trem tanpa rel tersebut telah membuat kemunculan sulung pada Februari 2024 di dalam sebuah acara di Putrajaya.

Orang ramai diberikan peluang menaikinya secara percuma selama empat hari. Aktiviti tersebut diteruskan dengan fasa percubaan terhad di laluan yang mempunyai tiga hentian.

Menurut Datuk Lo, Kementerian Pengangkutan telah menjalankan projek rintis ART bermula dari 1 Mei hingga 31 Ogos 2024. Selepas tamat tempoh percubaan, satu cadangan telah dikemukakan kepada PPj. Bagaimanapun ia bersifat tidak mengikat (non-binding) dan hanya bertujuan untuk kajian pasaran.

Walaupun projek ART ini tidak diteruskan, PPj dilaporkan kekal terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa hadapan. Ia tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan dana.

Putrajaya masih mensasarkan nisbah mod pengangkutan 70:30, iaitu 70 peratus penggunaan pengangkutan awam dan 30 peratus kenderaan persendirian.

Tinggalkan komentar