Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) secara rasminya telah memperkenalkan sistem tempahan pemeriksaan kenderaan dalam talian yang baharu GiCheck.

Ia menggantikan platform terdahulu MyPuspakom. Selaras dengan peralihan sistem ini, kadar caj pemprosesan tempahan pemeriksaan kenderaan telah diselaraskan daripada RM3.50 kepada RM5.00 berkuat kuasa bermula pada Ahad, 4 Januari 2026.

Pengenalan GiCheck merupakan sebahagian daripada inisiatif digital Puspakom untuk menaiktaraf kecekapan operasi dan memodenkan sistem tempahan yang tidak pernah disemak sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

Platform baharu ini dibangunkan dengan fokus untuk menangani isu kestabilan sistem serta menyediakan pengalaman pengguna yang lebih telus.​

Menurut kenyataan rasmi Puspakom, kenaikan caj pemprosesan kepada RM5.00 adalah perlu bagi menyokong kos penyelenggaraan sistem yang lebih canggih dan selamat.

“Pelarasan caj ini seiring persediaan untuk melancarkan sistem tempahan baharu yang menampilkan penjenamaan semula, paparan serta fungsi yang ditambah baik bagi meningkatkan pengalaman pelanggan,” jelas wakil syarikat tersebut.

Di samping itu, GiCheck turut menawarkan mekanisme pemulangan bayaran (refund) yang lebih teratur, menjawab rungutan pengguna mengenai kesulitan proses tuntutan wang dalam sistem terdahulu.

Ciri-ciri Utama GiCheck Puspakom

  • Integrasi mySIKAP: Penyegerakan data terus dengan pangkalan data JPJ untuk ketepatan maklumat.
  • Antaramuka Moden: Reka bentuk laman web dan navigasi yang lebih intuitif dan mesra pengguna.
  • Proses Telus: Sistem bayaran balik yang ditambah baik dan lebih tersusun.
  • Sekuriti Dipertingkat: Langkah pencegahan untuk menghalang tempahan pukal yang tidak sah.

Orang ramai kini boleh membuat tempahan pemeriksaan melalui laman web baharu www.gicheck.my. Untuk sebarang pertanyaan atau bantuan teknikal berkaitan peralihan akaun pengguna, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau menghantar e-mel ke customerservice@puspakom.com.my.

Tinggalkan komentar