Setelah hampir dua bulan pengumuman penarikan semula Galaxy Note 7 di seluruh dunia dibuat oleh Samsung, gergasi elektronik dari Korea Selatan berkenaan sehingga kini masih lagi belum mengetahui punca sebenar mengapa sesetengah perantinya itu menjadi cepat panas dan terbakar secara tiba-tiba.
Misteri tersebut turut memberikan kesan terhadap tahap pembangunan telefon pintar Samsung yang berikutnya, Galaxy S8 menurut laporan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal.
Menurut salah seorang jurucakap Samsung kepada pihak akhbar, syarikat berkenaan sedang berusaha mencari punca sebenar masalah pada bateri tersebut yang amat mudah panas serta amat merbahaya kepada pengguna.
Perkembangan ini sedikit sebanyak membantutkan pembangunan peranti-peranti akan datang Samsung termasuk Galaxy S8 yang mana telah dilaporkan telah tertunda sehingga dua minggu.
Samsung Galaxy Note 7 telah mula memasuki ke pasaran sejak dari bulan Ogos lalu dan dianggap sebagai peranti yang mampu mengembalikan Samsung ke takhta peranti Android paling popular di muka bumi. Namun malang menimpa apabila peranti yang diharap-harapkan mengembalikan maruah Samsung telah mengakibatkan reputasi Samsung jatuh dan dipersendakan ramai.
Bukan sekali Samsung terpaksa memanggil semula Galaxy Note 7 berkenaan dari pasaran. Malah, panggilan kali kedua peranti bermasalah berkenaan telah memaksa Samsung untuk memberhentikan terus penjualan Galaxy Note 7 di seluruh dunia.
Panggilan semula Galaxy Note 7 dari pasaran di seluruh dunia telah melibatkan kos sekitar USD3 billion. Sesuatu yang tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan nama baik jenama Samsung diperingkat global.
-Sumber berita diperoleh dari Wall Street Journal













