Pengguna komputer dan peminat teknologi mungkin akan berdepan dengan peningkatan kos membina PC tidak lama lagi. Buat masa ini harga RAM dan SSD telah melonjak dalam masa yang singkat di pasaran global akibat kekurangan bekalan memori.

Terkini dilaporkan komponen lain seperti unit bekalan kuasa (PSU) dan penyejuk CPU (CPU coolers) juga berisiko mengalami kenaikan harga susulan peningkatan kos pengeluaran.

Imej dari Videocardz

Laporan tersebut merujuk kepada notis yang didakwa dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengeluar elektronik dari China, Guangzhou Xinhongzheng Electronic Technology. Syarikat berkenaan memaklumkan pelanggan mereka mengenai pelarasan harga komponen tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Anggaran kenaikan yang dinyatakan dalam notis tersebut:

  • Unit Bekalan Kuasa (PSU): Dijangka mengalami kenaikan harga antara 6% hingga 10%.
  • Heatsink (Penyejuk): Dijangka meningkat sebanyak 6% hingga 8%, yang secara langsung akan mempengaruhi harga penyejuk CPU.

Peningkatan kos ini dikaitkan dengan kenaikan harga bahan mentah utama seperti tembaga, perak, dan timah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bahan-bahan ini merupakan elemen kritikal dalam pembuatan komponen elektronik. Permintaan tinggi terhadap bahan mentah ini, yang turut dipacu oleh kepesatan industri kecerdasan buatan (AI) semasa. Secara tidak langsung telah menyebabkan kos pengeluaran meningkat secara mendadak.

Selain itu, notis tersebut juga dinyatakan pembekal telah menghentikan penerimaan pesanan pada kadar harga lama bermula 6 Januari. Sebarang pesanan baharu akan menggunakan struktur harga yang telah dikemaskini.

Syarikat tersebut juga akan membatalkan polisi harga promosi bermula bulan hadapan, dengan lebih 90% produk mereka dijangka terkesan dengan kenaikan ini.

Walaupun notis ini ditujukan kepada rakan niaga pengeluar tersebut, ia boleh dianggap sebagai indikator awal kepada trend pasaran komponen PC secara global.

Pun begitu, maklumat ini masih perlu diteliti kesahihannya. Pengguna disarankan untuk memantau perkembangan harga semasa sebelum membuat sebarang pembelian komponen utama.

Tinggalkan komentar