Idea berkenaan kereta terbang bukanlah sesuatu yang baru dicetuskan. Ianya mungkin boleh digunakan untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya selain dari salah satu mod pengangkutan alternatif untuk orang ramai. Tidak berapa lama lagi, sebuah syarikat tempatan bakal menyiapkan pembangunan prototaip kereta terbang berkenaan sekitar Oktober ini.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, beliau sendiri telah melihat prototaip berkenaan. The Edge Markets turut melaporkan syarikat yang membangunkan prototaip berkenaan merupakan syarikat ketiga terbesar di dunia dalam pengoperasian dron.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama syarikat yang membangunkan prototaip berkenaan dan akan hanya mendedahkannya sebaik sahaja prototaip berkenaan dapat disiapkan.
Dalam perkembangan yang berkaitan, pihak kerajaan juga sedang merangka garis panduan bagi mengawal selia operasi kereta-kereta terbang ini nanti. Tambah Datuk Seri Redzuan Md Yusof lagi, pihak kerajaan perlu mengeluarkan garis panduan berkenaan sebelum pihak-pihak swasta mula menghasilkan kereta terbang masing-masing nanti. Pihak kerajaan juga setakat ini tidak menyediakan dana bagi pembangunan kereta terbang.
Setakat ini masih belum dapat dipastikan jenis tempat duduk yang bakal digunakan untuk prototaip kereta terbang keluaran tempatan ini kelak.
Di Dubai, pasukan polis bandaraya berkenaan kini sedang mempersiapkan anggotanya dengan latihan mengendalikan motorsikal apung (hoverbike) untuk digunakan dalam kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang.
Sumber berita diperoleh dari The Edge Market













