Pengeluar kereta nasional Proton telah melancarkan Proton Xchange Programme dengan kerjasama dengan Car Medic Sdn. Bhd. Program ini membolehkan pemilik kenderaan yang memiliki kenderaan berusia 15 tahun yang dianggap tidak layak dipandu atas jalan raya boleh ditukarkan dengan model baharu Proton termasuk kenderaan elektrik e.MAS7.
Proton telah memperuntukkan sejumlah RM4.8 juta bagi program ini untuk membolehkan pemilik kenderaan menerima RM2,000 menerusi pertukaran. Jumlah tersebut akan diberikan sebagai diskaun atau bantuan kewangan untuk pelanggan mendaftar model baharu dari Proton.
Selain itu, model baharu yang didaftarkan di bawah Proton Xchange Programme akan menerima cukai jalan percuma untuk satu tahun. Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook ketika majlis pelancaran program yang diadakan awal hari ini.
Untuk layak menerima insentif ini, kenderaan perlu sekurang-kurangnya berusia 15 tahun dan dianggap terlalu tinggi kos pembaikannya untuk selamat dipandu. Kenderaan yang layak merangkumi dari jenis, sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas dengan bukti pemilikan.
Untuk menerima insentif RM2,000 penukaran pula, pembeli perlu mendaftar kenderaan baharu sebelum tamat tahun semasa. Pemohon perlu menghantar Sijil Pemilikan Kenderaan, borang JPJK1KD (pengesahan pembatalan pendaftaran oleh JPJ) dan Sijil Pemusnahan yang dikeluarkan oleh Car Medic Sdn. Bhd.
Car Medic Sdn Bhd, yang menerima persijilan daripada Jabatan Alam Sekitar dan dilantik oleh JPJ sebagai AATF sejak 2020. Syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan e-Dereg, menguruskan pembatalan pendaftaran, penundaan, pelupusan selamat, dan mengeluarkan Sijil Pemusnahan (Certificates of Destruction) untuk program ini.
Rakyat Malaysia di beberapa tempat boleh menggunakan perkhidmatan ini bagi membatalkan pendaftaran secara digital kenderaan masing-masing dengan JPJ di lokasi. Perkhidmatan ini juga boleh membantu sekelompok lebih daripada lima kenderaan dengan e-Dereg dalam tempoh hanya dua hari.