Proton telah melancarkan X50 baharu pada bulan lepas dengan sebanyak lebih dari 2,000 unit telah terjual. Kini, Proton mengumumkan hasil kerjasamanya dengan Touch ‘n Go membolehkan kesemua varian X50 baharu akan dipasangkan dengan tag RFID.
Pengumuman bersama tersebut dibuat selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Touch ‘n Go Sdn Bhd Praba Sangarajoo menyatakan “langkah ini dipacu oleh tujuan mewujudkan pengalaman yang lebih lancar kepada pengguna kami.”
Dalam pada masa yang sama, Naib Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Zhang Qiang menyatakan, “terdapat skop yang boleh memperluaskan kerjasama antara kedua pihak ke model-model lain Proton.”
Setakat ini tidak dinyatakan model-model lain selain dari X50 yang akan dipasangkan dengan tag RFID. Maklumat mengenai garis masa pelaksanaan pengumuman baharu ini juga masih belum dinyatakan.