Anak syarikat Proton, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), hari ini melancarkan stesen pengecas arus terus (DC) pertamanya di fasiliti baharunya di Tanjung Malim, Perak. Stesen ini merupakan stesen pengecas kendiri pertama yang dilancarkan oleh syarikat automotif nasional tersebut di dalam negara.
Hab pengecasan ini terletak di bangunan pentadbiran syarikat dan dilengkapi dengan empat petak pengecasan yang menawarkan output gabungan sebanyak 120 kW. Menurut PRO-NET, kemudahan ini terbuka kepada semua jenama kenderaan elektrik.
Ini kerana PRO-NET memiliki lesen ST EVCS yang diperlukan untuk pemasangan sistem pengecasan EV. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih meluas di Malaysia.
Untuk kemudahan pengguna, proses pengecasan dan pembayaran boleh dilakukan dengan hanya mengimbas kod QR, tanpa memerlukan aplikasi khusus seperti kebanyakan stesen pengecas lain. Walau bagaimanapun, pemilik Proton eMAS dan smart masih mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi eMAS dan Hello smart yang telah diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem tersebut.
“Hab pengecasan ini merupakan satu langkah penting ke hadapan bagi kami, bukan sahaja sebagai sebuah kemudahan tetapi sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk membina ekosistem EV yang lebih kukuh untuk Malaysia,” menurut PRO-NET.
“Melalui penawaran perkhidmatan mampu milik dan mudah digunakan ini, kami berharap dapat menarik minat orang ramai terhadap penggunaan EV.”
Dari segi kos, PRO-NET menetapkan kadar harga pada RM0.80 per kWh, menjadikannya antara hab pengecasan dengan kadar terendah di negara ini. Sempena pelancarannya, PRO-NET menawarkan diskaun istimewa dengan kadar serendah RM0.40 per kWh sepanjang bulan Oktober.