Proton New Energy Technology (Pro-Net) secara rasmi membuka tempahan untuk model kenderaan elektrik (EV) terbaharu, Proton e.MAS 5, dengan harga anggaran bermula RM60,000 hingga RM80,000.

Pengumuman ini dibuat menerusi siaran langsung khas tadi, di mana hatchback elektrik mampu milik ini kini boleh ditempah di 42 cawangan pengedar Proton e.MAS di seluruh negara. 5,000 orang pelanggan pertama boleh membuat bayaran tempahan serendah RM99.

Proton e.MAS 5 akan dipasarkan dalam dua varian utama – e.MAS 5 Prime dan e.MAS 5 Premium. Model asas Prime dijangka berharga bermula RM60,000, manakala varian Premium yang dilengkapi ciri lebih komprehensif dianggarkan mencapai RM80,000.

Syarikat menyasarkan pelancaran rasmi pada suku keempat tahun ini, dengan penyerahan unit pertama kepada pelanggan dijadualkan bermula November 2025.

Pakej Early Bird turut ditawarkan kepada 5,000 pelanggan pertama yang merangkumi rebat tambahan RM500 ke atas yuran tempahan. Selain itu, pelanggan turut berpeluang menerima kad NFC Touch ‘n Go edisi terhad Proton e.MAS yang telah dipramuat dengan kredit bernilai RM100.

Berdasarkan maklumat rasmi, varian Premium e.MAS 5 dikuasakan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 85 kW (114 kuasa kuda) dengan tork maksimum 150Nm. Kenderaan menggunakan sistem pacuan roda belakang dan diperkasakan bateri LFP berkapasiti 40.16 kWh.

Model ini mampu menempuh jarak sehingga 325 km dalam satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Kemudahan pengecasan pantas DC sehingga 71kW membolehkan bateri dicas dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 21 minit.

Dari aspek praktikal, e.MAS 5 menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) seluas 70 liter dan ruang but belakang 375 liter. Bahagian dalaman dilengkapi skrin infotainmen 14.6 inci, kluster instrumen 8.8 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar

Tinggalkan komentar