Samsung Malaysia telah mengesahkan harga dan tarikh pra-tempahan dibuka bagi siri Galaxy Watch4 untuk pasaran tempatan. Sama seperti peranti-peranti lain yang diumumkan menerusi acara Galaxy Unpacked lalu, pra-tempahannya dibuka dari 19 Ogos ini sehingga 21 September 2021.
Model standard Galaxy Watch 4 akan dijual pada harga RM 999 bagi varian 44mm, dan RM 899 bagi varian 40mm. Saiz muka jam yang lebih besar boleh didapati dengan pilihan warna Hitam, Hijau dan Perak. Manakala yang lebih kecil pula akan ditawarkan dengan warna pilihan Hitam, Emas Merah Jambu, dan Perak.
Seterusnya bagi model Classic yang lebih premium pula akan dijual pada harga RM 1,399 bagi saiz 46mm, dan RM 1,299 bagi saiz 42mm. Kedua-duanya akan hadir dengan dua warna pilihan iaitu Hitam dan Perak.
Menurut Samsung, pra-tempahan bagi keempat-empat model Galaxy Watch4 ini akan ditawarkan varian Bluetooth sahaja terlebih dahulu. Tidak dinyatakan bilakah varian LTE akan ditawarkan bagi pasaran tempatan. Jika ada varian LTE ini, dijangkakan harganya mungkin akan lebih tinggi berbanding varian Bluetooth sahaja.
Anda boleh melakukan pra-tempahan bagi Galaxy Watch4 melalui kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia, Experience Store dan wakil pengedar yang sah. Sebagai promosi khas pra-tempahan Galaxy Watch4, Samsung juga akan memberikan e-baucar bernilai RM 250 untuk digunakan di kedai dalam talian rasminya, sehingga stok masih ada.













