Samsung Galaxy Note 9 baru sahaja dilancarkan di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat dan tidak lama selepas itu, pra-tempahan bagi telefon pintar berkenaan mula dibuka untuk pasaran Malaysia.
Bakal dibuka esok, bersamaan 10 Ogos, pengguna yang berminat boleh membuat pra-tempahan dengan harga bermula dari RM3,699.
Kedua-dua varian Galaxy Note 9 akan hadir ke Malaysia dengan model RAM 6GB, storan 128GB dijual dengan harga RM3,699. Manakala bagi model RAM 8GB, storan 512GB pula dijual dengan harga RM4,599 (Harga yang terlalu mahal pada pendapat saya).
Namun begitu, pihak Samsung Malaysia sudi menawarkan beberapa cenderahati percuma bagi setiap pembelian telefon pintar varian 512GB berkenaan.
Pembeli yang membuat pra-tempahan bakal menerima jam tangan pintar Samsung Gear Sport, tali jam tangan tambahan dan pad pengecas tanpa wayar.
Kesemua cenderahati ini bernilai RM1,531. Bagi pembelian varian 128GB pula, setiap pra-tempahan bakal menerima satu Samsung Gear Watch yang bernilai RM1,219.
Samsung Galaxy Note 9 sememangnya bukanlah sebuah telefon pintar mercu yang dijual pada harga mampu milik. Jika dibandingkan dengan telefon pintar mercu Samsung lain seperti Galaxy S9+ (64GB), harganya ditetapkan dari RM3,799 sewaktu ia pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Bagi model 128GB, harganya mencecah sehingga RM3,999. Jadi tidak hairanlah jika Samsung Galaxy Note 9 dijual pada harga sedemikian.
Telefon pintar keluaran terbaru Samsung ini mula dibuka pra-tempahannya pada esok, 10 Ogos melalui laman tempahan khas rasmi oleh Samsung Malaysia.













