Bagi pemain-pemain game, sistem kotak tikam adalah sesuatu yang tidak asing lagi di dalam permainan video masa kini. Beberapa buah negara Eropah telah menggesa pengharaman sistem ini di dalam permainan video kerana dianggap sebagai satu bentuk perjudian.

Electronic Arts, antara penerbit permainan video terawal yang memperkenalkan sistem ini telah mengubahkan namanya sebagai ‘mekanika kejutan’ bagi mengalihkan isu sistem ini yang dianggap sebagai satu perjudian. Kini, salah sebuah badan pertubuhan pengguna di Malaysia turut sama mula mengambil berat tentang isu ini.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini telah menerbitkan satu pos di dalam Facebook rasminya bahawa sistem kotak tikam ini adalah satu bentuk “perjudian senyap”. Apa yang membimbangkan lagi badan pertubuhan pengguna tersebut adalah ianya melibatkan remaja dan kanak-kanak.

Apa yang disampaikan oleh PPIM merupakan satu pesanan khidmat masyarakat yang perlu diambil perhatian berat oleh ibu bapa terutamanya yang tidak bermain permainan video. Bagi ibu bapa yang bermain permainan video, tanggungjawab utama adalah mendidik anak-anak supaya berhati-hati tidak terjebak di dalam kancah perjudian sistem kotak tikam.

Dunia permainan video hari ini sudah berubah banyak terutamanya sejak sistem kotak tikam mula popular di dalam judul-judul permainan terutamanya yang diterbitkan oleh EA.

Sistem ini tidak banyak membantu pembangunan industri permainan video secara keseluruhannya, baik pembangun, pereka bentuk, kakitangan grafik mahupun para pemainnya. Sebaliknya, ia lebih banyak menguntungkan kelompok eksekutif syarikat penerbitan dan juga pemegang-pemegang sahamnya.

Justeru, amat penting bagi semua ibu bapa, baik yang bermain game atau tidak untuk memantau aktiviti permainan video anak-anak. Didik anak-anak supaya tidak terjerat di dalam sistem kotak tikam. Galakkan mereka supaya meningkatkan kemahiran dalam berfikir serta teknik kawalan untuk menang dan bukannya bergantung kepada faktor wang melalui sistem kotak tikam semata-mata.

Buat masa ini, sebahagian penerbit-penerbit permainan seperti Apple, Google, Microsoft, Nintendo dan Sony dikehendaki menyatakan jumlah kebarangkalian untuk mendapatkan sesuatu di dalam sesebuah kotak tikam.

Sumber berita diperoleh dari Facebook PPIM

Tinggalkan komentar