Pos Malaysia telah mengumumkan penangguhan perkhidmatan mel dan bungkusan ke hampir seluruh destinasi kecuali China, Hong Kong, Jepun, Singapura dan United Kingdom. Penangguhan ini berikutan pembatalan penerbangan dan juga penutupan lapangan terbang berikutan wabak pandemik COVID-19.
Pengumuman ini dibuat oleh Pos Malaysia menerusi laman web rasminya dan penangguhan ini dilaksanakan sehingga diberitahu kelak. Perkhidmatan Mel Ekspres (EMS) masih lagi beroperasi, tetapi dengan kapasiti terhad.
Hampir di seluruh dunia, pihak kerajaan negara masing-masing sedang melaksanakan pelbagai langkah pencegahan memerangi wabak pandemik COVID-19. Atas sebab itu, agak sukar untuk menentukan bilakah perkhidmatan ini akan kembali pulih.
Pos Malaysia turut menyatakan pihaknya akan sentiasa mengemaskini maklumat terperinci perkhidmatan antarabangsanya dari masa ke semasa.













