POCO, jenama naungan Xiaomi yang popular dengan peranti mampu milik akan melancarkan dua telefon pintar baharunya minggu depan, bersempen MWC 2022. Model yang dimaksudkan adalah POCO X4 Pro 5G dan POCO M4 Pro.
Acara pelancaran global POCO X4 Pro 5G dan POCO M4 Pro akan berlangsung pada 28 Februari 2022 jam 8 malam waktu Malaysia. Anda boleh menontonnya secara langsung menerusi Facebook rasmi dan saluran YouTube rasmi POCO.
POCO X4 Pro 5G

Sebagaimana maklumat yang ditiriskan oleh Abhishek Yadav, Poco X4 Pro kelihatan mirip dengan Redmi Note 11 Pro 5G. Telefon pintar berkenaan hadir dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Ia dijangka akan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695, berbeza dengan POCO X3 Pro sebelum ini yang hadir dengan cipset mercu Snapdragon 860.
POCO X4 Pro juga mempunyai tetapan tri-kamera yang ditempatkan pada bonggol yang turut mengetengahkan jenama “POCO”. Ia menawarkan sebuah kamera utama 108MP, bergandingan dengan kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Untuk swafotonya disediakan kamera hadapan 16MP melalui paparan berpenebuk lubangnya.
Telefon pintar ini dijangkakan hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 67W. Memandangkan POCO seringkali hadir dengan nilai yang lebih berpatutan, harganya kelak mungkin lebih rendah berbanding Redmi Note 11 Pro 5G. Sebagai rujukan, Redmi Note 11 Pro 5G dijual di Malaysia pada harga RM1,199 bagi varian RAM 6GB dan storan 128GB.
POCO M4 Pro 4G LTE

Seterusnya, POCO M4 Pro dilihat sebagai telefon pintar peringkat pemula yang tidak menyediakan sokongan rangkaian 5G. November tahun lalu, POCO pernah melancarkan POCO M4 Pro 5G yang berharga RM849 bagi varian storan dalaman 64GB.
Telefon POCO M4 Pro 5G sebelum ini menawarkan paparan Full HD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan menggunakan cipset MediaTek Dimensity 810. Terdapat dua buah kamera disediakan bagi telefon pintar ini iaitu kamera utama 50MP dan 8MP untuk kamera bersudut luas.
Turut disediakan, sebuah kamera hadapan 16MP yang boleh digunakan untuk swafoto. POCO M4 Pro 5G mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W.













