POCO pada hari ini secara rasminya telah mengumumkan telefon pintar baharunya POCO X3 GT. Menurutnya, telefon pintar baharu ini akan memasuki ke pasaran Malaysia pada 3 Ogos 2021.
Model yang memasuki ke pasaran tempatan ini merupakan varian global Redmi Note 10 Pro yang telah dilancarkan di China dua bulan lalu. Dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 1100, ia merupakan model 5G pertama di bawah siri POCO X.
POCO X3 GT menawarkan paparan IPS Full HD+ 6.6-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus.
Di belakangnya dilengkapkan dengan tri-kamera yang mengandungi sensor utama 64MP, ultra-lebar 8MP, dan makro 2MP. Telefon ini juga mempunyai kamera swafoto 16MP.
Turut disediakan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya, sokongan main semula kandungan Dolby Atmos, dan juga bateri berspesifikasi 5,000mAh. Menurut POCO, telefon ini mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 42 minit melalui pengecas Turbo Charging 67W yang disediakan bersama-sama pembeliannya.
Untuk pasaran di Malaysia, POCO X3 GT didatangkan dengan standard RAM 8GB dan pilihan storan 128GB (RM 1,299) atau 256GB (RM 1,599). Untuk waktu yang terhad ini, POCO X3 GT akan dijual pada harga masing-masing mengikut model, RM1,199 dan RM 1,399 di kedai rasmi POCO di Lazada dari 3 hingga 4 Ogos sehingga stok masih ada.













