POCO, hari ini memperluaskan rangkaian produknya dengan pelancaran rasmi dua tablet baharu iaitu POCO Pad X1 dan POCO Pad M1.

Pengenalan peranti ini dibuat seiring dengan pelancaran siri telefon pintar POCO F8, menawarkan pilihan peranti mudah alih yang lebih variatif kepada pengguna di Malaysia.

Kedua-dua tablet ini kini sedia untuk dibeli di pasaran tempatan dengan penawaran harga promosi menarik sempena pelancaran tersebut.​

POCO Pad X1

POCO Pad X1 diposisikan sebagai tablet ringan dengan berat hanya 500g, yang direka untuk prestasi visual yang tinggi. Ia dilengkapkan dengan paparan bersaiz 11.2 inci dengan resolusi 3,200 x 2,136 piksel serta menyokong kadar segar semula (refresh rate) setinggi 144Hz dan kecerahan puncak mencecah 800 nits.

Tablet ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 7+ Gen 3, dipadankan dengan memori (RAM) 8GB dan storan dalaman 512GB.​

Spesifikasi POCO Pad X1

  • Paparan: 11.2-inci, 144Hz, 800 nits.
  • Cip Pemprosesan: Snapdragon 7+ Gen 3.
  • Bateri: 8,850mAh (Pengecasan pantas 45W).
  • Kamera: 13MP (Belakang), 8MP (Depan).
  • Harga: RM1,499 (Harga promosi RM1,299 sehingga 18 Disember 2025).​

POCO Pad M1

Seterusnya POCO Pad M1 pula hadir dengan saiz paparan yang lebih besar iaitu 12.1 inci dengan resolusi 2,560 x 1,600 piksel dan kadar segar semula 120Hz.

Tablet ini memberi fokus kepada ketahanan bateri dengan kapasiti gergasi 12,000mAh yang menyokong pengecasan 33W serta pengecasan berbalik (reverse charging) 27W.

Uniknya, model ini mengekalkan bicu audio 3.5mm dan menawarkan sokongan storan boleh ditambah sehingga 2TB.​

Spesifikasi POCO Pad M1

  • Paparan: 12.1-inci, 120Hz, 600 nits.
  • Cip Pemprosesan: Snapdragon 7s Gen 4.
  • Bateri: 12,000mAh (Pengecasan 33W, Pengecasan berbalik 27W).
  • Ciri Tambahan: Bicu audio 3.5mm, storan boleh ditambah.
  • Harga: RM1,199 (Harga promosi RM999 sehingga 18 Disember 2025).​

Menurut Xiaomi, kedua-dua Pad X1 dan Pad M1 telah membuat kemunculan rasmi sebagai tambahan terbaharu kepada barisan produk AIoT jenamanya. Ia memperlihatkan komitmen POCO dalam ekosistem peranti pintar.​

Kedua-dua tablet ini ditawarkan dalam pilihan warna Biru dan Kelabu. Bagi ketersediaan pasaran, POCO Pad X1 boleh didapati di kedai dalam talian Mi serta kedai rasmi di Shopee dan Lazada.

Sementara itu, POCO Pad M1 dijual secara eksklusif di Shopee sehingga 2 Disember 2025 sebelum dibuka kepada semua platform lain.

Sebagai tawaran awal (“early bird”) yang berlangsung sehingga 18 Disember 2025, pembeli turut berpeluang mendapatkan aksesori seperti Papan Kekunci POCO Pad X1 dan Pen POCO Focus pada separuh harga, atau pelindung POCO Pad M1 secara percuma bergantung kepada model yang dibeli.

Tinggalkan komentar