Xiaomi secara rasminya telah melancarkan POCO M7 di Malaysia hari ini, lima bulan selepas model Pro diperkenalkan. Telefon pintar baharu ini merupakan model berbeza denga yang dilancarkan di India pada Mac lalu.
POCO M7 menampilkan kamera dengan susunan menegak yang menampilkan sebuah kamera utama 50MP dan sebuah kamera berkedalaman. Telefon pintar ini didatangkan dengan pilihan warna Hitam, Biru dan Perak.
Di hadapannya, ia menawarkan DotDisplay 6.9-inci beresolusi 2340 x 1080 piksel, kadar penyegaran semula sehingga 144, kadar pensampelan sentuhan sehingga 288Hz, kecerahan puncak 850 nits, dan sebuah kamera swafoto 8MP yang ditempatkan pada ruangan berpenebuk lubang di atasnya.
Selain itu, telefon pintar ini juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP64, pembesar suara yang menyokong Hi-Res Audio dan Dolby Atmos, serta pengimbas cap jari pada sisinya. Dari segi ketersambungan, ia menyokong Wi-Fi, Bluetooth 5.0, NFC. Untuk perisian, telefon pintar ini menggunakan Xiaomi HyperOS 2.0, berasaskan Android 15.
Di dalamnya, POCO M7 menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 685 4G dengan RAM LPDDR4X sehingga 8GB, dan storan UFS 2.2 256GB. Juga disediakan slot kad mikroSD dengan sokongan sehingga 2TB. Sementara itu, telefon pintar ini menggunakan bateri berkapasiti 7,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W. Xiaomi turut memberikan berita baik telefon pintar ini didatangkan bersekali dengan palam pengecasnya.
POCO M7 kini tersedia di laman web rasmi Xiaomi Malaysia dan juga promosi kedai rasmi Shopee and Lazada. Bersempena promosi pembeli terawalnya, ia kini berharga RM469 untuk pilihan 6GB + 128GB dan RM559 untuk 8GB + 256GB. Harga asal untuk POCO M7 dijual pada harga masing-masing RM499 dan RM599.