POCO telah melancarkan telefon pintar peringkat pemula baharu, POCO C55. Hadir dengan harga yang mesra bajet, telefon pintar ini telah dilancarkan di India dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, hijau dan biru.
POCO C55 menampilkan skrin 6.71-inci beresolusi 720p dengan kadar penyegaran semula 60Hz. Skrinnya juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan 120Hz dan dilindungi oleh Panda Glass. Terdapat pengimbas cap jari pada bahagian belakang telefon pintar dengan penarafan debu dan air IP52.
Telefon pintar ini menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G85 bersama-sama pilihan RAM sehingga 6GB dan storan sehingga 128GB. Bersama-sama slot kad mikroSD untuk perluasan ruang storan, POCO C55 juga mempunyai bicu audio 3.5. Selain itu, ia juga menyokong rangkaian 4G LTE, dwi-jalur Wi-Fi, dan Bluetooth 5.0.
Untuk fotografinya, ia mempunyai satu kamera 50MP sebagai lensa utamanya dan satu kamera 2MP sebagai lensa berkedalamannya. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 5MP.
Telefon pintar berharga bajet ini juga dilengkapkan dengan bateri yang kapasitinya agak besar iaitu 5,000mAh. Pun begitu, port pengecasannya masih lagi menggunakan jenis mikro-USB dengan pengecasannya terhad pada 10W sahaja.
POCO C55 yang menggunakan MIUI 13 berasaskan Android 12 ini mula dijual di India pada 28 Februari 2023. Ia berharga INR9,499 (~RM509) untuk model 4GB+64GB dan INR10,999 (~RM590) untuk model 6GB+128GB. Setakat ini POCO masih lagi belum mengumumkan kehadiran telefon pintar ini ke pasaran di rantau lain.













