Infrastruktur pelayan yang menyokong skim subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) telah dinaik taraf dan berupaya memproses 30,000 transaksi dalam setiap minit, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi tadi. Kapasiti sistem telah dipertingkatkan rekaannya bagi mengelakkan gangguan seperti yang pernah berlaku ketika peringkat awal program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Jelas beliau lagi, pelayan SARA pada asalnya direka untuk kumpulan kecil yang hanya boleh menampung 3,000 transaksi dalam setiap minit. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan sistem baharu ini mampu memproses 10 kali ganda dan boleh menampung jumlah penerima yang lebih ramai.
“Jadi nak elak masalah yang dihadapi tatkala kita perkenalkan di awal pelaksanaan SARA. Jadi BUDI95, kapasiti server itu jauh lebih besar.
“SARA itu sebenarnya direncana untuk kumpulan lebih kecil, kita belajar daripada pengalaman itu. Jadi SARA mampu memproses 3,000 transaksi seminit, tapi BUDI95 server itu mampu memproses 10 kali ganda, maknanya lebih 30,000 transaksi seminit,” katanya.
Perdana Menteri turut mengambil maklum tentang keperluan menggunakan MyKad untuk membeli petrol di bawah program ini mungkin menyusahkan orang ramai. Beliau menyatakan perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada majoriti rakyat Malaysia untuk mendapatkan harga petrol antara terendah di rantau Asia.
Kesemua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah layak untuk menerima subsidi ini. Menurut data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih dari 16 juta rakyat Malaysia dijangka layak untuk program ini.