Utama Mobile Aplikasi PLUS uji Sistem Tol Tanpa Palang guna Teknologi ANPR pada Oktober 2025

PLUS uji Sistem Tol Tanpa Palang guna Teknologi ANPR pada Oktober 2025

132
0

PLUS Malaysia mengumumkan ujian sistem tol tanpa palang baharu berteknologi Automated Number Plate Registration (ANPR) akan dilaksanakan di sebahagian Lebuhraya Utara Selatan pada tahun ini.

Bertujuan mempermudah dan melancarkan pengguna membayar tol di lebuhraya, inisiatif ini merupakan usaha bersama di antara Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan beberapa syarikat konsesi.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata melalui platform digital bersepadu, pengguna boleh melalui mana-mana lorong tol tanpa henti dengan pilihan pelbagai mod pembayaran digital, semakan transaksi dan paparan e-invois. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF).

Ujian akan dibuka kepada beberapa kumpulan penguji dan akan bermula pada Oktober ini di sepanjang laluan antara Hutan Kampung ke Sungai Dua lebuhraya PLUS. Untuk peringkat akan, sistem ini akan dilaksanakan di 13 plaza tol dan sehingga 35 lorong Touch ‘n Go RFID sedia ada. Penyertaan orang ramai dijangka akan dibuka secara berperingkat.

PLUS memaklumkan pihaknya menggunakan kamera ANPR berketepatan tinggi bagi mengenalpasti nombor plat kenderaan. Bayaran tol akan ditolak dari akaun yang dipautkan dengan kenderaan tersebut secara automatik.

Bagi yang berminat, anda boleh mendaftarkan maklumat kenderaan dan pembayaran melalui aplikasi mudah alih JustGO. Sistem ini direka supaya sesuai dengan pelbagai bentuk pembayaran digital tanpa tunai. Ia dibangunkan secara dalaman oleh pakar-pakar tempatan di PLUS dan tidak menggunakan dana kerajaan.

Platform ini juga menyokong ciri-ciri digital seperti menjana e-invois, dan melihat sejarah transaksi. Selain itu, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk yang berminat mendaftar menggunakan sistem tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.