PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, untuk tempoh dari 20 Jan hingga 2 Feb ini, bagi mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan kepada kira-kira dua juta kenderaan menggunakan lebuhraya itu, dalam tempoh sambutan Tahun Baharu Cina.
PLUS dalam kenyataan menyarankan pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal, sebelum pukul 9.00 pagi.
Pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi seperti Ipoh, Negeri Sembilan dan Melaka disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas pukul 12 tengah hari.
Bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur pula, PLUS menasihatkan semua pelanggannya memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi bagi memastikan aliran trafik secara berperingkat bergerak daripada semua lokasi ke Lembah Klang.
Dalam masa yang sama, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di lebuh raya di antara 22 Jan hingga 2 Feb 2020 serta menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik di lebuh raya bagi membantu pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.
Bagi memastikan keselamatan pelanggan terutama pada waktu puncak, PLUS akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, pasukan bomba dan penyelamat, ambulans, Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan RELA di samping meningkatkan jumlah kakitangan PLUS untuk bersiap sedia memberikan bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan tersebut.
Malah PLUS turut menyediakan lebih banyak tandas awam tambahan dan tangki air bergerak di beberapa lokasi di lebuh raya, termasuk menyediakan 70 kiosk tambah nilai layan diri (mesin SSK) bagi menampung jumlah trafik yang meningkat.
Sumber berita diperoleh dari Bernama












