Cyberjaya, 19 Ogos 2025 – JAZRO Robotic Academy mengumumkan, selepas dua bulan berlangsung di enam pusingan wilayah, Piala JAZRO (JAZRO Cup) 2025 yang dianjurkan melabuhkan tirai pada 15 Ogos di Rekascape, Cyberjaya dengan menghimpunkan 319 pelajar daripada lebih 70 sekolah ke peringkat akhir kebangsaan.

Secara keseluruhan, edisi sulung ini melibatkan 1,100 pelajar daripada 143 sekolah, termasuk 87 sekolah luar bandar (61.5% penyertaan), menjadikannya platform penting dalam merapatkan jurang bandar–luar bandar dalam pendidikan STEM.

Pertandingan ini disertai pelajar sekolah rendah dan menengah dari zon Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Utara, Selatan, dan Tengah, bertanding dalam kategori pengekodan dan tanpa kod. Penyertaan meluas daripada pasukan luar bandar hingga sekolah berpengalaman di bandar membuktikan bahawa peluang STEM yang setara mampu melahirkan bakat teknologi tanpa mengira latar belakang.

Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, CEO JAZRO, berkata, “JAZRO Cup bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform peluang saksama.

Apabila pelajar luar bandar dan bandar berada dalam satu platform, bersaing dengan semangat dan kreativiti yang sama, memang terasa bahawa kita sedang membina generasi masa depan ekosistem berinovasi Malaysia. Itulah pengalaman kami!”

Antara sorotan utama peringkat akhir kebangsaan ialah anugerah khas yang diberikan kepada sekolah berikut:

Coding Genius Award dimenangi oleh pasukan sekolah luar bandar iaitu SM Islam Hira’ & Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Kuala Selangor, kerana menunjukkan kemahiran pengaturcaraan yang cemerlang, menyelesaikan masalah dengan cekap serta menguasai aspek pengkodan ketika pertandingan.

Gobi Innovator Award pula diberi kepada pasukan SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, atas kebolehan mereka bukan sahaja memprogram robot kompleks dengan berkesan, malah menerangkan dengan jelas dan yakin logik serta tujuan di sebalik setiap keputusan pengkodan, lalu membuktikan kefahaman dan inovasi sebenar.

Setiap pasukan tersebut terima hadiah wang tunai RM500

Dengan sokongan Kementerian Pendidikan serta rakan-rakan penganjur termasuk Muslim Pro/Bitsmedia, Spritzer, MyDigital, Petrosains, dan Yayasan MR DIY, JAZRO Cup terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah gerakan nasional untuk menginspirasi serta membina generasi peneraju teknologi masa depan Malaysia.

Tinggalkan komentar