Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, pinjaman buku digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah meningkat hampir 170%.
Lebih kurang 40,000 buku digital perpustakaan telah dipinjam sepanjang Mac lalu. Menurut Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM Aidatul Hasnida Abdul Rani, pada bulan-bulan biasa, hanya sekitar 15,000 buku digital dipinjam dari perpustakaan.
Bilangan pendaftaran ahli baru u-Pustaka, serta pengunjung portal perpustakaan berkenaan juga turut menyaksikan peningkatan mendadak sepanjang tempoh PKP.
“Statistik pendaftaran keahlian dan pengunjung portal menunjukkan peningkatan semasa PKP ini. Sehingga 21 April 2020, jumlah kumulatif ahli u-Pustaka adalah seramai 501,295.
“Semasa PKP sahaja, pendaftaran keahlian mencecah 22,982 ahli. Pendaftaran keahlian tertinggi adalah semasa permulaan PKP iaitu mencecah 6,069 pendaftaran dalam masa satu hari (19 Mac),”
-Puan Aidatul Hasnida Abdul Rani, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM
Beliau turut menambah, sebanyak 1.7 juta muka surat bahan bacaan tempatan seperti manuskrip Melayu, buku nadir serta koleksi negara telah berjaya didigitalkan oleh PNM melalui projek u-Pustaka. Segala bahan bacaan berkenaan kini boleh diakses melalui portal u-Pustaka.













