Sebuah pejabat reka bentuk di Korea Selatan telah menjadi mangsa jenayah pecah masuk. Penjenayah bertindak mensasarkan komponen komputer memori DDR5.
Insiden tersebut berlaku apabila pencuri memecahkan panel kaca pada komputer peribadi (PC) di pejabat berkenaan semata-mata untuk melarikan modul RAM. Perkakasan dan barangan lain yang lebih berharga di lokasi bagaimanapun tidak disentuh.
Menurut perkongsian mangsa di forum tempatan Korea Selatan, Zod, insiden tersebut digambarkan sebagai kejadian “pecah dan lari” (smash-and-grab).
Pencuri terbabit dilaporkan memecahkan panel kaca terbaja (tempered glass) pada selongsong komputer mangsa dan mencabut keluar RAM DDR5 tersebut.
Mangsa melaporkan kehilangan empat unit modul memori Micron 32GB DDR5-5600 dengan pemasaan CL46. Nilai kerugian ini menjadi lebih signifikan memandangkan Micron baru-baru ini mengumumkan penutupan jenama penggunanya, Crucial, bagi menumpukan perhatian kepada pembuatan memori untuk pasaran kecerdasan buatan (AI).
Situasi ini menyebabkan ada pihak yang beranggapan bahawa pencuri tersebut mungkin menyedari nilai “koleksi” atau kesukaran mendapatkan komponen tersebut di pasaran semasa.
Kejadian ini juga dikaitkan dengan peningkatan harga pasaran memori DDR5 yang kini dianggap sangat mahal. Penganalisis melihat bahawa jenayah sebegini mungkin didorong oleh pengetahuan penjenayah mengenai nilai semasa komponen tersebut yang dijangka akan terus meningkat.
Susulan kejadian tersebut, pemilik pejabat reka bentuk berkenaan merancang untuk membina semula komputer-komputer yang terjejas. Walau bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan masa hadapan, mereka berhasrat untuk tidak lagi menggunakan selongsong komputer yang mempunyai panel kaca sisi bagi mengelakkan komponen dalaman mudah dilihat oleh pihak tidak bertanggungjawab.













