Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melanjutkan pembangunan kenderaan elektrik generasi berikutnya di Malaysia. Kerjasama ini bertujuan mendidik dan melatih jurutera masa depan disamping meningkatkan kerjasama di antara akademia dengan industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad mengetengahkan inisiatif ini sebagai satu langkah ke hadapan ke arah mewujudkan teknologi xEV Malaysia sendiri dan memacu pembangunan teknologi.

Dalam pada masa yang sama, Timbalan Naib Canselor UTM Prof. Dr. Rosli Md Illias menekankan peranan kerjasama ini dalam melengkapkan para graduan dengan kemahiran penting bagi meningkatkan daya saing Malaysia di dalam sektor automotif global.

Perodua

Insiatif penting merangkumi peningkatan kurikulum kejuruteraan UTM, menubuhkan makmal satelit di kampus UTM Skudai, dan menggalakkan pertukaran pengetahuan di dalam bidang teknologi xEV. Kerjasama ini juga melibatkan kajian bersama, pembangunan bakat, dan program-program latihan bagi memperkasakan inovasi dan ekosistem automotif Malaysia.

Perodua pada Disember tahun lepas telah mempamerkan prototaip terkini EV pertamanya, EMO-II di Pameran Mobiliti Antarabangsa KL (KLIMS). Menurut Perodua, kenderaan berkenaan dibangunkan secara dalaman dan model muktamadnya dijangka akan dilancarkan pada tahun ini dengan harga jualan disasarkan di bawah RM90,000.

Tinggalkan komentar