Anda mungkin masih ingat lagi dengan aplikasi perkhidmatan seru-pandu tempatan yang dikenali sebagai Dego Ride yang mula diperkatakan dua tahun lalu.

Perkhidmatan yang ditawarkannya pernah dilarang oleh pihak berkuasa kerana mod pengangkutan awam bermotosikal yang ditawarkannya. Namun, pada tahun 2020 ini perkhidmatan ini telah dibenarkan untuk beroperasi.

Kadar bayaran yang ditetapkan kelihatan agak mudah untuk dianggarkan. Setiap kilometer dari lokasi permulaan sehingga destinasi yang dituju ditetapkan pada kadar RM1 setiap kilometer dengan kadar minimum ditetapkan pada RM3.

Melalui aplikasinya, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan kemudahan OKU dan kerusi kanak-kanak. Selain itu, pengguna wanita juga disediakan pilihan untuk mendapatkan penunggang motosikal wanita. Buat masa ini, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang.

Penarikan semula larangan perkhidmatan Dego Ride ini hadir hampir serentak dengan ujian rintis perkhidmatan seru-tunggang dan juga kebenaran operasi perkhidmatan Go-Jek. Ujian rintis berkenaan berlangsung selama 6 bulan di sekitar Lembah Klang dengan lokasi-lokasi lain akan dipertimbangkan di masa depan.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi Dego Ride melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Tinggalkan komentar