Perisian Data Recovery (Pemulihan Data) amat berguna terutama sekali ketika kita ingin mendapatkan semula data-data penting anda yang telah hilang akibat masalah kerosakan komputer atau storan anda. Tambahan pula, bukan semua pengguna komputer rajin untuk melakukan backup walaupun backup sebenarnya lebih mudah untuk dilakukan berbanding melakukan pemulihan data.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perisian data recovery yang boleh dimuat turun secara percuma untuk digunakan pada Windows seperti:
PhotoRec
PhotoRec adalah perisian data recovery yang berasaskan baris arahan (command line) yang boleh memulihkan data-data anda yang hilang dengan memintas (bypass) sistem fail. Amat sesuai bagi komputer yang boleh ‘melihat’ storan berkenaan tetapi tidak boleh mengaksesnya atau untuk digunakan pada pemacu yang telah diformatkan (formatted drive).
Perisian ini boleh digunakan pada pelbagai jenis format yang berlainan selain dari NTFS dan FAT32 yang biasa digunakan oleh Windows. Juga boleh didapati untuk platform-platform lain seperti Linux dan Mac OS.
Recuva
Recuva menyediakan pelbagai fungsi dan alatan yang menjadikan kerja-kerja pemulihan data lebih mudah. Aplikasi berkenaan akan melakukan imbasan terperinci (deep scan) pemacu storan dan melaluinya, anda boleh memulihkan kembali data-data anda yang telah dipadamkan. Ia juga boleh digunakan pada storan yang telah rosak atau yang telah diformatkan.
Ia juga boleh digunakan untuk memulihkan kembali data-data yang telah dipadamkan oleh pengguna secara tidak sengaja. Ia sangat berguna jika data berkenaan terpadam ketika terputus bekalan kuasa dan anda tidak sempat untuk ‘save’kan dokumen seperti Microsoft Word misalnya. Jika anda berasa ia terlalu rumit untuk digunakan, terdapat ‘bomoh’ (wizard) yang akan membimbing anda sepanjang proses pemulihan dilakukan.
TestDisk
Kadangkala sistem fail boleh rosak dan anda tidak boleh mengakses data-data di dalam storan malang berkenaan. TestDisk boleh digunakan untuk memulihkan kembali data-data dengan lebih pantas kerana memulihkan sistem fail adalah jalan yang paling pantas.

Perisian yang hadir sebagai pakej bersama perisian PhotoRec ini boleh digunakan untuk membaiki sistem fail yang rosak supaya data-data di dalam storan berkenaan dapat diselamatkan serta pada masa yang sama memulihkan kembali storan tanpa perlu diformat semula. Malah, ia mampu memulihkan semula format-format yang biasa digunapakai Windows.
Perisian ini dapat diperoleh untuk digunakan pada pelbagai jenis platform.
Ultimate Boot CD
Sebagaimana nama yang digunakannya, perisian ini boleh dimuatkan ke dalam CD dan digunakan untuk boot komputer anda. Ia mengandungi pelbagai jenis perisian mendiagnosa untuk mengimbas, sunting dan memulihkan pemacu atau data di dalam komputer anda.

Ia amat berguna bagi pengguna yang langsung tidak dapat membuka komputer untuk mendapatkan kembali data-data yang penting.
Turut dimuatkan di dalam ‘suite’ ini adalah perisian PhotoRec dan TestDisk untuk membantu anda memulihkan data-data penting dari storan yang rosak.
Restoration

Bagi anda yang inginkan perisian ringkas tapi power, Restoration mungkin pilihan terbaik untuk anda. Ia hadir sebagai fail EXE yang tidak memerlukan proses instalasi untuk ianya boleh dijalankan. Program ini wajib ada di dalam simpanan storan USB anda memandangkan saiznya amat kecil pada 400 KB sahaja.
Glary Undelete

Glary Undelete akan melakukan imbasan terperinci pada pemacu untuk memeriksa fail-fail yang telah dipadamkan dan menunjukkan sifat keadaan setiap fail-fail berkenaan sebagai penilaian tahap kebarangkaliannya untuk dipulihkan kembali.
Anda boleh menapis keputusan imbasan untuk mencari fail-fail yang anda inginkan dengan lebih mudah.













