Sesetengah pengguna Whatsapp menggunakan perkhidmatan permesejan ini tanpa membayar satu sen pun dan hanya sesetengah pengguna sahaja yang membayar yuran langganannya, USD 0.99 (RM 4.36) setahun. Walaubagaimanapun, yuran langganan berkenaan akan dimansuhkan tidak lama lagi.

Walaupun yuran langganan sekitar RM 5 setahun untuk menggunakan perkhidmatan permesejan pelbagai platform ini dilihat amat murah bagi sesetengah pihak, Whatsapp berpendapat cara perolehan pendapatan melalui cara ini agak tidak sesuai. Hal ini kerana, sesetengah pengguna Whatsapp tidak memiliki akses kepada kad debit mahupun kad kredit dan Whatsapp tidak mahu para penggunanya bimbang untuk kehilangan senarai perhubungan kenalan dan keluarga hanya kerana mengelak dari membayar yuran langganan.

Bagaimanapun, Whatsapp masih lagi boleh digunakan seperti biasa tanpa iklan dari pihak ketiga walaupun yuran langganan tahunannya akan dimansuhkan. Untuk itu, Whatsapp sedang mengusahakan fungsi yang membenarkan pengguna berkomunikasi secara langsung dengan syarikat atau organisasi melalui Whatsapp bermula tahun ini.

Misalnya, syarikat penerbangan boleh berhubung secara terus kepada para penumpang untuk memaklumkan perkara-perkara penting seperti jadual penerbangan yang ditunda dan sebagainya. Fungsi ini membolehkan komunikasi antara syarikat dan pelanggan semakin mudah disamping ia mampu menjana keuntungan kepada Whatsapp tanpa perlu bergantung hasil dengan pengiklanan pihak ketiga.

-Sumber berita diperoleh dari Whatsapp

Tinggalkan komentar