Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof mengumumkan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan menerima rebat 1.45 sen/kWj pada bulan hadapan. Ia berikutan kejatuhan harga bahan api termasuk gas dan arang batu. Untuk bulan Julai ini tiada sebarang surcaj atau rebat bahan api dikenakan.
Beliau yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan “berikutan penurunan harga bahan api dan gas, bermula dari 1 sehingga 31 Ogos, rebat akan diberikan untuk elektrik pada 1.45 sen/kWj.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga mengunjurkan lebih banyak rebat menerusi Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (Automatic Fuel Adjustment – AFA) sehingga November ini. Rebat tersebut diunjurkan pada 1.23 sen/kWh, 2.65 sen/kWh dan 1.95 sen/kWh masing-masing untuk September, Oktober dan November.
Bagaimanapun, hanya pengguna domestik dan bukan-domestik yang menggunakan lebih dari 600 kWj sahaja tertakluk dengan AFA ini. Bagi pengguna yang kurang dari 600 kWj, kadar rata akan dikenakan.
Menurut Fadillah lagi, kaedah ini bagi memastikan majoriti pengguna terutamanya yang menggunakan elektrik secara berhemah tidak terbeban dengan turun-naik harga bahan api global.













