Lebih dari satu billion pengguna mengakses Facebook melalui telefon pintar. Manakala jumlah pengguna yang melayari laman web melalui peranti mudah alih kini mengatasi jumlah pengguna yang melayari melalui desktop. Jumlah yang dicatatkan pada Oktober baru-baru ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah.
Melepasi paras satu billion pengguna merupakan penanda aras utama bagi Facebook yang pendapatan utamanya diraih melalui pengiklanan mudah alih. Kini terdapat sejumlah 1.18 billiun pengguna yang mengakses ke rangkaian sosial berkenaan setiap hari dan 1.09 billion daripadanya menggunakan peranti mudah alih menurut laporan suku tahun ketiga pendatapan Facebook.
Pengiklanan mudah alih telah menyumbang 84 peratus kepada pendapatan keseluruhan Facebook dari pengiklanan. Walaubagaimanapun, pendapatan daripada desktop turut sama mencatatkan peningkatan hasil daripada usaha gigih yang digembleng sepanjang pertengahan tahun ini untuk mengatasi aplikasi penyekat iklan.
Pertumbuhan rancak Facebook melalui peranti mudah alih turut mencerminkan trend penggunaan internet di seluruh dunia. Peranti mudah alih dan tablet menyumbang kepada 51.3 peratus penggunaan internet di seluruh dunia pada Oktober lalu berbanding 48.7 peratus bagi desktop. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh StatCounter, ia merupakan pertama kali jumlah pengguna internet mudah alih mengatasi jumlah pengguna desktop.
Kebanyakan dari pengguna internet mudah alih datangnya dari negara-negara sedang membangun yang mempunyai lokasi-lokasi internet yang terhad. Sebelum ini Facebook telah banyak membuat pelaburan membangun infrastruktur luar bandar di negara-negara sedang membangun ini. Bagaimanapun, penggunaan internet melalui laptop dan desktop masih lagi dominan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, dan Korea Selatan.
-Sumber berita diperoleh dari Facebook Investor













