Rakyat Malaysia berpendapatan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak perlu untuk mendaftar bagi mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh LHDN hari ini. Ini kerana penerima BSH akan mendapat BPN secara automatik.
Bagi kumpulan berpendapatan M40 pula, mana-mana individu yang sudah mempunyai maklumat cukai dengan LHDN juga tidak perlu untuk mendaftar untuk menerima BPN.
Kelayakan kumpulan sasar ini adalah berdasarkan pendapatan dan kriteria-kriteria lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Status agihan BPN boleh disemak secara dalam talian melalui https://www.hasil.gov.my/ atau https://bpn.hasil.gov.my/. Untuk membuat semakan status, pemohon hanya perlu mengisikan nombor kad pengenalan pemohon.
Jika status menyatakan “tiada rekod”, individu berkenaan boleh menghantar permohonan baru yang dibuka sehingga 30 April.
Tidak ada permohonan secara manual dibenarkan kerana semua premis LHDN ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari portal rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 3 April 2020.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan dari membuat semakan status ketika waktu puncak berikutan pertambahan bilangan trafik yang tinggi pada ketika ini.
Bayaran Bantuan Prihatin Nasional akan dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pada bulan April dan Mei 2020.













